SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ekonomi negara pada hari ini belum menampakkan kejayaan berikutan krisis kekurangan bekalan beras masih lagi membelenggu rakyat.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, meskipun pihak berkuasa membanteras aktiviti kartel beras dalam negara yang didakwa menjadi punca berlakunya masalah kekurangan beras tempatan, namun isu tersebut dilihat masih lagi belum selesai.
Ujar beliau, perkara itu menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat kerana bekalan beras dalam pasaran masih lagi kurang sedangkan tangkapan telah pun dibuat.
"Patutnya bila orang yang sorokkan beras itu dah ditangkap, beras itu kembali ada di pasaran tetapi beras masih tidak ada.
"Jadi sebenarnya apa penyelesaian, apa yang berlaku? Ke mana perginya orang-orang yang ditangkap dan dilihat menjadi kartel ini?
"Saya rasa kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang setuju kartel-kartel ini perlu diambil tindakan. Isunya masalah itu masih membelenggu rakyat pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Berani Semuka bertajuk Survival Ekonomi: Rakyat Lega Atau Terhimpit? yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Program yang dikendalikan oleh Amin Idris itu turut disertai Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda.
Dalam pada itu, menurut Afnan Hamimi, krisis beras tersebut merupakan antara lima perkara yang melibatkan survival ekonomi termasuk penilaian prestasi kerajaan melalui dapatan kaji selidik Merdeka Center, nilai ringgit, jumlah pelaburan asing dan kenaikan harga barang.
Tambahnya, pemimpin juga perlu menunjukkan tata kelola dan tadbir urus yang baik kepada rakyat tanpa membezakan warna bendera politik semata-mata.
"Di negeri pembangkang, masalah disusahkan, disulitkan dan (ada yang) dihalang mesyuarat-mesyuarat tertentu serta tidak dibenarkan masuk. Ahli-ahli Parlimen pembangkang dinafikan peruntukan.
"Tata kelolanya tidak baik, menggunakan helikopter ketika pilihan raya. Cakap lain tetapi buat lain, menyebabkan krisis kepercayaan itu berlaku kepada pemimpin dan ekonomi itu tidak dapat diuruskan dengan baik,” ujarnya.