Empat indikator awal pulihkan ekonomi

Iklan
Mohd Hasbie
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Empat indikator awal bagi memulihkan ekonomi pasca pandemik Covid-19 memerlukan usaha semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda berkata, menerusi kerangka ekonomi Madani, Belanjawan 2023, Kerangka Ekonomi Madani, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Belanjawan 2024 adalah dibuat bagi memperkasa semula kehidupan rakyat.

Menurutnya, ia termasuk menangani isu inflasi, pengangguran dan imbangan dagangan sebagai strategi bagi membantu survival rakyat.

"Jika bercakap mengenai data-data ekonomi kita tidak boleh ambil dari ‘tepi jalan’.

"Bagi mendapatkan data inflasi yang betul kita perlu keabsahan setiap maklumat daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) secara menyeluruh,” katanya dalam Program Berani Semuka bertajuk ‘Survival Ekonomi: Rakyat Lega Atau Terhimpit?’ yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Program tersebut dikendalikan oleh moderator, Amin Idris dan turut disertai oleh Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Sementara itu, menurut Mohd Hasbie, tidak adil sekiranya pembangkang menilai tempoh pertumbuhan negara dalam jangka pendek, sedangkan ia memerlukan masa yang panjang dengan mengambil kira pelbagai indikator.

"Pertumbuhan negara kadangkala naik dan turun tetapi tidak boleh menilainya dalam tempoh yang pendek. Kita tidak buat perancangan pembangunan setahun untuk mengukur tahap kemajuan negara,” katanya.