Zii Jia bersedia hadapi kejohanan tahun depan

Iklan
Lee Zii Jia. Foto: Bernama

PEMAIN badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia akan lebih bersedia dengan semangat baharu bagi menghadapi Kejohanan Badminton Masters Malaysia tahun hadapan selepas menikmati masa rehat yang positif sebelum menyertai kem latihan di Ehime, Jepun.

Kejohanan pertama 2020 itu dengan hadiah keseluruhan AS$400,000 di Arena Axiata dari 7-12 Jan itu, menarik ramai pemain hebat antarabangsa apabila sesi kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo dilangsungkan di Malaysia.

Iklan
Iklan

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, sudah sampai masanya untuk Zii Jia yang menamatkan aksi tahun ini dengan cemerlang, selepas memenangi pingat emas perseorangan di Sukan SEA, untuk beraksi cemerlang dan digeruni lawan.

Pemain berusia 21 tahun itu akan menghadapi lawan yang sukar iaitu pemain pilihan ketiga dan nombor empat dunia, Anders Antonsen dari Denmark yang telah menewaskan pemain Malaysia itu dalam dua pertemuan sebelum ini tahun ini di Indonesia.

Iklan

Zii Jia tewas 13-21, 12-21 di Masters Indonesia dan 16-21, 11-21 di Terbuka Indonesia.

"Beliau akan hadapi lawan yang bagus, tetapi saya melihat kepada permulaan yang baik bagi Zii Jia, selepas memenangi pingat emas Sukan SEA. Ia satu lonjakan untuk bantu beliau bersedia, bagaimana untuk bermain dengan baik dan menghadapi kesukaran.

Iklan

"Zii Jia perlu belajar bagaimana untuk memahami dan tingkatkan dirinya ke satu tahap yang lebih tinggi. Masanya telah tiba untuk Zii Jia menunjukkan potensi yang ada dan lebih lagi, apabila mendapat sokongan penyokong tempatan,” kata Choon Hann dalam satu kenyataan di sini.

Pemain yang kini menduduki ranking ke-14 dunia itu, telah pulang ke kampungnya di Alor Setar untuk berehat dari badminton dan melibatkan dirinya dalam sukan bola keranjang.

Zii Jia menyatakan yang rehatnya dari badminton itu, telah membuatkan beliau berasa segar dan bertenaga untuk menghadapi musim baharu badminton dan beliau telah dinamakan sebagai pemain Malaysia yang akan mengantikan Datuk Lee Chong Wei, selepas pemain itu bersara akibat masalah kesihatan.

Pemain berasal dari Kedah itu memenangi pingat emas di Manila, dengan kemenangan 21-18, 21-18 terhadap pemain Singapura yang lahir di Malaysia Loh Kean Yew pada perlawanan akhir selain membantu Malaysia memenangi pingat perak dalam acara berpasukan.

Tahun ini, Zii Jia layak ke suku akhir Masters Malaysia, Masters Indonesia dan Terbuka Jerman dan layak ke separuh akhir terbuka Thailand.

Semasa Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland, pada Ogos, beliau layak ke suku akhir, tetapi ditunjukkan jalan keluar oleh juara dunia, Kento Momota dari Jepun.

Pasukan kebangsaan pada masa ini sedang menjalani latihan di Ehime, Jepun sejak Ahad lepas. - Bernama