SHAH ALAM - Orang ramai diminta merakam maklumat sama ada dalam bentuk video atau audio jika berlaku unsur rasuah sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.
Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, ia bertujuan untuk dijadikan bahan bukti bagi memudahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan selanjutnya.
"Jika dilihat dari sudut wang ringgit, jelas rasuah itu menguntungkan tetapi ia bertentangan dengan ajaran Islam dan undang-undang selain boleh meruntuhkan sesebuah negara,” katanya kepada Sinar Harian.
Sinar Harian pada 13 November lalu melaporkan, parti Pas yakin bahawa ahlinya kekal ‘bertahan’ dan tidak sesekali terjebak dengan sebarang bentuk sogokan serta perjanjian yang melibatkan habuan dalam pelbagai bentuk.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut memberikan jaminan bahawa isu berkenaan tidak menjejaskan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.
Dalam pada itu, Zairudin berkata, jika rakyat turut serta membantu untuk memastikan pilihan raya berlangsung secara bersih, maka proses memilih wakil rakyat berlaku secara adil.
Tambahnya, kempen integriti seperti MyUndi yang dijalankan ABIM dan Rasuah Busters perlu diperkasakan dalam kalangan rakyat supaya tidak menerima sebarang rasuah atau ‘duit kopi’.
Jelas beliau, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), MyUndi menggalakkan masyarakat pulang ke kampung untuk mengundi di kawasan masing-masing.
"Walaupun ABIM dan Rasuah Busters perlu menanggung kos besar tetapi rakyat masih berhak mengundi mana-mana parti yang dipilih,'' katanya.