SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terbukti utuh menggenggam kesetiaan bersama parti kerana tiada mana-mana ahli Parlimen dalam kalangan mereka beralih sokongan.
Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sayap wanita parti itu berikrar untuk terus setia bersama kepimpinan dan parti meskipun berdepan banyak dugaan dan hasutan.
Menurutnya, perjuangan yang penuh berliku sejak penubuhan Bersatu dan Srikandi sendiri memerlukan pengorbanan demi agama, bangsa dan negara tercinta
"Pengorbanan Srikandi Bersatu pada hari ini adalah tetap setia, tetap bersama Bersatu...kekal bersatu biar banyak duri, ranjau dan tekanan.
"Biar banyak godaan dan bisikan syaitan, namun Srikandi tetap setia dan kita masih terus istiqamah berada dalam saf perjuangan.
"Ingatlah, perjuangan ini memerlukan pengorbanan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 pada Khamis.
Beliau menambah, kehadiran Srikandi pada perhimpunan itu bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan Perlembagaan Bersatu tetapi membawa agenda lebih besar iaitu agenda perjuangan ummah demi kesejahteraan sejagat.
"Kehadiran ini satu pengorbanan...yang memenuhkan dewan juga datangnya daripada Srikandi.
"Semangat datang untuk bersama memperkukuhkan parti," katanya.
Pada masa sama, Rina turut mengingatkan kepimpinan Srikandi cawangan yang telah mendapat mandat agar menerajui parti dengan penuh amanah dan tanggungjawab serta tidak mengkhianati kepercayaan yang diberi.
"Srikandi menerima banyak permohonan Srikandi cawangan, mari guna peluang ini menambah Srikandi seramai mungkin," katanya.
Beliau berkata, keputusan Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) dan pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini membuktikan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) terus mendapat mandat rakyat.
"Saya penuh yakin bahawa kemenangan YB (Yang Berhormat) kita juga dibantu oleh sokongan dan undi pengundi wanita yang merupakan separuh daripada keseluruhan pengundi," katanya.