BESUT - Penduduk yang berdepan situasi buruk akibat bencana banjir luar jangka melanda Kampung La, Hulu Besut di sini masih trauma dengan kejadian yang berlaku pada Disember tahun lalu.
Raja Kamaruddin Raja Mohamed, 59, berkata, kejadian dalam tempoh singkat itu sering menghantui dia sekeluarga lebih-lebih lagi apabila memasuki musim tengkujuh.
"Saya masih trauma apabila hujan lebat sebab tak dapat lupakan pengalaman pahit ketika rumah yang menjadi tempat berlindung kami sekeluarga musnah sekelip mata dalam tragedi itu.
"Siapa tidak sedih apabila rumah yang didiami selama berpuluh-puluh tahun tiba-tiba musnah sekelip mata.
"Sekarang saya sekeluarga terpaksa berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat sementara menunggu rumah yang dibina siap," katanya.
Bapa kepada lapan anak itu berkata, dia mengalami masalah kewangan dan hanya bekerja kampung bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.
Dalam masa yang sama, katanya dia perlu menyiapkan kembali kediaman mereka yang telah musnah sebelum ini.
Menurut Raja Kamaruddin, rumah yang dibina baharu kali ini adalah rumah kekal dan berketinggian tiga meter berbanding rumah lama yang merupakan rumah separa kekal.
Jelasnya, rumah berkenaan adalah hasil sumbangan orang ramai dan kini masih dalam proses pembinaan selepas terbengkalai selama beberapa bulan.
"Sebelum ini saya dah gunakan kira-kira RM12,000 sumbangan orang ramai untuk membangunkan kembali rumah yang roboh di tapak yang sama.
"Walaupun ia dah hampir setahun dibina, rumah ini masih belum dapat didiami dan memerlukan kira-kira RM20,000 lagi untuk siap sepenuhnya," katanya.
Raja Kamaruddin merupakan salah seorang mangsa banjir yang kehilangan kediamannya selepas rumah pusaka yang didiami bersama keluarga musnah akibat dihanyutkan arus ketika banjir besar melanda tahun lalu.