KEMAMAN - Jentera Pas perlu mengekalkan momentum dan bekerja hingga saat akhir dalam tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang berbaki sembilan hari lagi.
Calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu mempunyai misi penting dalam mengekalkan kerusi berkenaan dan tidak boleh terus berasa selesa.
"Kita kena anggap PRK ini sama seperti pilihan raya lain yang kita hadapi.
"Setiap kali pilihan raya sejak puluhan tahun sejarah perjuangan Pas, kita hadapinya dengan penuh serius.
"Jadi, tak kira sama ada ada potensi menang atau tidak, kena anggap ia adalah sama termasuk gerak kerja.
"Tentunya cabaran yang ada pada kita dalam PRK ini lebih besar.
"Insya-ALLAH, sama-sama kita mencapai kemenangan pada 2 Disember ini (hari pengundian),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana PRK Parlimen Kemaman di Dewan Sivik Pekan Kijal pada malam Rabu.
PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Ahmad Samsuri dengan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mewakili BN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya menetapkan 2 Disember sebagai tarikh mengundi manakala pengundian awal ditetapkan pada 28 November dengan tempoh berkempen selama 14 hari.
Parlimen Kemaman mempunyai 141,790 pemilih berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemas kini sehingga 3 Oktober, merangkumi 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan tentera dan pasangan serta 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.