Penilaian reformasi Kerajaan Perpaduan bawah jangkaan - Bersih

Iklan
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mendedahkan penilaian prestasi Kerajaan Perpaduan dalam reformasi pilihan raya dan institusi adalah sebanyak 21.6 peratus atau 11 daripada 51 mata selepas setahun pemerintahan.

Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, walaupun Kerajaan Perpaduan telah mencapai kemajuan yang membanggakan dalam beberapa bidang seperti pemerkasaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, namun prestasi mereka adalah di bawah jangkaan.

Iklan
Iklan

"Pengundi telah dijanjikan reformasi-reformasi ini dalam manifesto pilihan raya mereka hanya setahun yang lalu, namun kemajuan berada pada kadar yang amat perlahan.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti menyegerakan reformasi ini.

Iklan

"Bagi empat reformasi bertindih yang dijanjikan oleh kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), tiada alasan untuk menangguhkan pelaksanaannya dan garis masa yang jelas mesti dinyatakan oleh Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut kenyataan Bersih tersebut, empat reformasi yang bertindih itu ialah pengasingan kuasa untuk Pendakwa Raya dan Peguam Negara, memperbaharui proses pelantikan pegawai awam yang ditapis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP), memperkenalkan Akta Pembiayaan Politik dan penurunan kuasa dari Persekutuan ke negeri.

Iklan

"Kami mengakui dan memuji bahawa tiga ikrar reformasi sedang dijalankan pada masa ini iaitu pemisahan peguam negara dan pendakwa raya, Akta Perkhidmatan Parlimen dan Akta Perolehan Kerajaan, tetapi garis masa yang jelas untuk pelaksanaan masih belum diumumkan oleh Perdana Menteri.

"Dua janji reformasi besar telah dimungkiri oleh Kerajaan Perpaduan iaitu peruntukan pembangunan kawasan (CDF) pilihan raya yang saksama tanpa mengira Ahli Parlimen yang prokerajaan atau pembangkang dan pemansuhan undang-undang drakonian seperti Akta Hasutan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Menteri Dalam Negeri malah mempertahankan kewujudan atau penggunaan akta-akta kuno ini, walaupun bertahun-tahun berkempen menentangnya,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Bersih juga menuntut Perdana Menteri untuk segera menunaikan 12 janji reformasi yang masih belum terlunas, dengan garis masa yang jelas dan sumber berpatutan.

Antaranya adalah penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen, Akta Pembiayaan Politik, Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya, Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan penggal Perdana Menteri selama 10 tahun, penggubalan Akta Penggal Tetap Parlimen, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Selain itu, pemantauan pelantikan pegawai awam utama yang telus dan melalui Parlimen, semakan semula oleh jawatankuasa Parlimen bagi Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Percetakan dan Penerbitan 1984, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan SOSMA.

Di samping itu, Akta Parlimen untuk memperuntukkan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama kepada semua ahli Parlimen, pengiktirafan dan pemerkasaan kabinet bayangan Perikatan Nasional (PN) dengan elaun, pegawai penyelidik dan akses kepada maklumat kementerian, pindaan Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan dan menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji pelaksanaan undi tidak hadir untuk pengundi luar wilayah (Sabah dan Sarawak) dan pengundi luar negeri.

"Walaupun Kerajaan Perpaduan masih belum memenuhi jangkaan, Bersih akan terus bertemu dan mendesak kerajaan, Parlimen dan pihak-pihak yang berkepentingan untuk advokasi reformasi, serta memantau serta membuat semak dan imbang kepada perkembangan yang sedang berlaku.

"Kami menyedari bahawa Kerajaan Perpaduan berkemungkinan mempunyai empat tahun lagi untuk memenuhi janji pilihan raya mereka dan sebarang penggubalan atau pindaan kepada undang-undang memerlukan masa untuk perundingan, perangkaan dan pembentangan,” jelasnya.