ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor pada Khamis membentangkan belanjawan lebihan RM4.21 juta bagi tahun kedua berturut-turut.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Belanjawan Johor 2024 bertemakan 'Memacu Pembangunan Menyejahterakan Rakyat' menyaksikan jumlah hasil yang akan dikutip pada tahun depan dijangka sebanyak RM1.804 bilion.
Menurut beliau, perbelanjaan pula dianggarkan sebanyak RM1.799 bilion seterusnya terdapat lebihan sebanyak RM4.21juta.
"Anggaran hasil 2024 dibandingkan dengan anggaran hasil pada 2023 adalah meningkat sebanyak 4.03 peratus manakala perbelanjaan mengurus bagi tempoh sama dijangka meningkat sebanyak 3.94 peratus," katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024 di Kota Iskandar pada Khamis.
Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, negara turut terkesan susulan keadaan ekonomi dunia berdepan ketidaktentuan susulan ketegangan geopolitik.
Bagaimanapun jelasnya, Johor terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan muncul sebagai penyumbang terbesar kepada perdagangan negara, susulan peningkatan eksport dan import.
"Belanjawan Johor 2024 bertunjangkan enam teras Agenda Maju Johor, yang mendasari setiap genap dan pelosok negeri.
"Enam teras berkenaan ialah tadbir urus kerajaan, pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, kemudahan dan keperluan asas, kebersihan dan kelestarian alam sekitar dan Orang Muda Johor.
"Belanjawan merangkumi pelbagai aspek seperti pembangunan ekonomi dan infrastruktur, bantuan kepada rakyat, pendidikan, perumahan mampu milik, pertanian moden, keagamaan, kesukarelawanan dan banyak lagi," ujarnya.