SHAH ALAM - Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu memperbaharui iman dan amal serta kefahaman dalam memperjuangkan parti agar tidak mudah ‘dibeli’ pihak lawan.
Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sudah menjadi tanggungjawab dan kewajipan semua untuk berhimpun bagi memperbaharui iman, idealisme serta silaturrahim antara rakan seperjuangan agar kekal utuh bersama parti.
"Dalam soal memperbaharui iman dan amal serta kefahaman dalam berjuang, ALLAH memerintahkan orang yang beriman untuk bersabar menempuh dugaan sebagai sebuah parti yang kini berada di blok pembangkang.
"Kita juga mesti sabar menempuh ujian kerana kerajaan yang ada pada hari ini terus menekan parti dengan membekukan akaun, mendakwa ramai pemimpin-pemimpin kita tanpa asas kukuh.
"Kalau kita ingat, jika keputusan mahkamah Tan Sri Muhyiddin dikeluarkan sebelum hari mengundi (pilihan raya negeri) enam negeri, saya yakin kemenangan besar dan Selangor pasti jadi milik PN (Perikatan Nasional),” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Khamis.
Dalam pada itu beliau turut menyarankan ahli parti untuk mengambil iktibar dan mencontohi perjuangan mujahidin di Palestin yang mempertahankan negara walaupun terpaksa berhadapan dengan kekejaman Zionis Israel.
Justeru Ahli Parlimen Machang itu mengingatkan supaya Armada Bersatu tdak mudah terpedaya dengan musuh yang akan sentiasa berusaha untuk melakukan tipu muslihat.
"Hendaklah kita teguh, pasang kekuda, kukuhkan persaudaraan. Kalau tidak buat begitu, kita akan berpecah dan musuh akan ‘makan’ setiap seorang ahli sebagaimana empat ahli Parlimen yang khianati perjuangan parti.
"Belajarlah daripada pejuang di Palestin, kita mencemburui ketakwaan yang ALLAH titipkan dalam diri mereka berbanding dengan kita yang berjuang di sini.
"Tanggungjawab kita setelah menjadi ahli Bersatu hendaklah sama-sama memelihara kewajipan mempertahankan agama, bangsa dan tanah air,” tegasnya.