Aisyah pahat sejarah beraksi di pentas Olimpik buat kali pertama

Iklan
Aisyah ketika memenangi pingat emas acara elit wanita Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2023 di Melaka pada Julai lalu.

JUARA kebangsaan, Nur Aisyah Mohamad Zubir melakar sejarah tersendiri apabila muncul pelumba lebuh raya wanita pertama negara yang bakal beraksi pada temasya Sukan Olimpik.

Pengerusi Biro Lebuhraya Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Norazman Abu Samah berkata, Aisyah dipilih bagi menggalas cabaran pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Iklan
Iklan

"Selepas berbincang dari hati ke hati dengan barisan kejurulatihan, kami sebulat suara memilih Nur Aisyah untuk mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik di Paris tahun depan.

"Pemilihan Nur Aisyah ini berdasarkan konsistensinya selain kedudukan mata yang diperolehnya paling tinggi (berbanding pelumba wanita lain).

Iklan

"Jadi atas dasar itu, PKBM memilih Aisyah. Kita turut menyenaraikan lima pelumba simpanan bagi membantu Aisyah berlatih dalam persiapan ke Paris," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas pengumuman pelumba wanita negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan sebentar tadi.

Iklan

Terdahulu, nama Aisyah antara empat nama pelumba wanita yang disenarai pendek bagi menggalas cabaran skuad lebuh raya negara pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Tiga lagi pelumba ialah Phi Kun Pan yang telah memenangi pingat emas Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Asia (ACC) di Thailand bulan lalu; Siti Nur Adibah Akma dan Yeong Zhen Yi.

Pada minggu lalu, PKBM mendapat khabar gembira apabila Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengumumkan Malaysia mendapat satu slot untuk beraksi di pentas Olimpik Paris 2024.

Perkara itu dimaklumkan Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh yang menyifatkan ia merupakan sejarah buat skuad berbasikal lebuh raya wanita kerana mereka akan beraksi buat kali pertama pada temasya Olimpik.

Malaysia layak secara merit menerusi slot benua Asia selepas menamatkan perlumbaan pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di tempat kedua teratas dalam kalangan pelumba negara yang belum layak ke Olimpik.