Malaysia terima baik perjanjian 'jeda kemanusiaan' di Gaza

Iklan
Rakyat Palestin mendapatkan air minuman daripada trak yang sarat dengan bekalan makanan di bandar Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. - Foto Xinhua

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia memuji perjanjian 'jeda kemanusiaan' yang dicapai antara Hamas dan Israel pada Rabu (22 November) yang merupakan langkah ke arah menamatkan pembunuhan orang awam dan meminimumkan penderitaan rakyat di Gaza.

Malaysia turut memuji usaha Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) yang membawa kepada perjanjian itu, menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan
Iklan

"Malaysia juga menggesa pihak berkenaan supaya meningkatkan usaha untuk menghentikan permusuhan secara berkekalan. Malaysia bersedia untuk menyumbang aktif ke arah semua inisiatif yang bertujuan mewujudkan keadilan dan keamanan berkekalan di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata Malaysia yang memperakui pentingnya usaha untuk mengutamakan kesejahteraan orang awam dan komitmen terhadap usaha kemanusiaan akan terus menghantar bantuan kepada penduduk di Gaza.

Iklan

Malaysia berpegang teguh pada pendirian bahawa rakyat Palestin berhak mempunyai negara sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, menurut kenyataan itu.

Pada Rabu, Qatar mengumumkan kejayaan usaha pengantaraan bersama Mesir dan AS yang menyumbang kepada perjanjian jeda kemanusiaan antara Israel dan Hamas, lapor Agensi Anadolu.

Iklan

"Masa permulaan untuk jeda kemanusiaan itu akan diumumkan dalam tempoh 24 jam akan datang dan berlangsung selama empat hari, tertakluk kepada lanjutan,” kata Kementerian Luar Qatar di X. - Bernama