KOTA BHARU - Pas Kelantan menyifatkan tindakan membawa 25 peserta ratu cantik seluruh dunia untuk mempromosikan budaya Malaysia bukanlah idea yang baik.
Ketua Penerangannya, Mohd Asri Mat Daud berkata, kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan perlu menilai semula kelulusan penganjuran jika benar-benar bertanggungjawab memelihara budaya Malaysia.
"Lama-kelamaan budaya Malaysia yang unik akan hilang jati dirinya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, Pas Kelantan berkeyakinan atas terma kebudayaan, penganjuran ini sebenarnya hanya akan merosakkan budaya unik negara yang telah berada dikelasnya yang tersendiri di mata dunia.
Ujarnya, selain penganjuran pertandingan ratu cantik yang memperagakan tubuh badan wanita di hadapan khalayak adalah jelas bertentangan dengan syariat Islam dan tidak bersesuaian dengan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Mohd Asri memberitahu, penganjuran berkenaan juga dilihat bercanggah dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang jelas menggariskan tiga prinsip utama untuk dipatuhi.
"Iaitu, berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini, kedua, unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar diterima dan ketiga, Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.
"Ketiga-tiga prinsip asas ini adalah melambangkan penerimaan gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971," katanya.
Difahamkan, Kuala Lumpur bakal menerima limpahan kehadiran 25 delegasi peserta ratu cantik seluruh dunia yang akan berlangsung di sebuah hotel selama tempoh lapan hari bermula 5 hingga 12 Disember ini.
Dipercayai pertandingan yang berjustifikasikan mempromosi pelancongan Malaysia melalui kepelbagaian budaya dalam negara ini adalah penganjuran kali keenam sejak diadakan dan sebelumnya pada 2019 telah diadakan di Hong Kong.
Bagi penganjuran di Malaysia, ia dikatakan mendapat sokongan daripada Pelancongan Malaysia yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.