PRK Kemaman: Polis, tentera undi pos mulai hari ini

Iklan
387 anggota PDRM dan enam anggota tentera yang layak mengundi awal, 28 November ini bagi PRK Kemaman mengundi secara pos, bermula hari ini. - Foto hiasan

KUALA TERENGGANU - Kesemua 387 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan enam anggota tentera yang layak mengundi awal, 28 November ini bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman mengundi secara pos, bermula hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, arahan telah dikeluarkan kepada semua anggota terlibat untuk menukar kaedah mengundi dari mengundi awal kepada mengundi secara pos.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media PRK Kemaman dan banjir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.

Bagaimanapun, undi awal yang ditetapkan pada 28 November ini tetap akan dilaksanakan melibatkan tiga pengundi yang merupakan pasangan bagi anggota tentera.

Iklan

PRK Kemaman yang ditetapkan 2 Disember ini untuk hari mengundi menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Dalam pada itu Mazli berkata, setakat ini polis menerima 16 permohonan permit untuk ceramah dan program kempen daripada kedua-dua parti bertanding.

Iklan

Menurut Mazli, sepanjang lima hari tempoh berkempen setakat ini, tiada kejadian atau insiden tidak diingini berlaku yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Justeru beliau mengingatkan semua pihak supaya terus mengekalkan keamanan dan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan ditetapkan.

"Tidak ada permit ceramah ditolak setakat ini. Polis juga ingin mengingatkan semua pihak bahawa kami sentiasa memantau kempen parti politik di saluran media sosial seperti YouTube, Facebook, TikTok dan sebagainya," katanya. - Bernama