GUA MUSANG - Masyarakat Orang Asli di Pos Tohoi mendakwa seekor harimau belang berkeliaran di penempatan itu sejak 14 November lepas.
Penduduk suku Temiar itu turut mendakwa pada mulanya, haiwan buas itu berlegar di dalam kawasan kebun, namun mamalia itu kini dikesan berada berhampiran rumah penduduk pada Selasa lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Tohoi, Ajeh Baharom, 50, berkata, susulan kehadiran pak belang itu, penduduk kini bimbang untuk keluar menoreh dan berkebun.
"Kita percaya harimau itu masuk ke kawasan penempatan penduduk melalui sebelah asrama Sekolah Kebangsaan Tohoi, dua hari lepas haiwan itu muncul kembali dan berkeliaran di kawasan kampung, kami menjadi sangat takut dengan situasi ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Seorang penduduk Jenny Adik, 35, berkata, risau dengan keadaan itu, penduduk telah melaporkan kejadian berkenaan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
"Anggota Perhilitan sudah datang dua hari lepas. Mereka juga telah melihat kesan tapak kaki yang ditinggalkan harimau itu.
"Kita berharap tindakan selanjutnya akan dibuat dengan pantas kerana buat masa ini, kami tidak berani untuk keluar bekerja walaupun dinasihatkan supaya bergerak secara berkumpulan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada penduduk Orang Asli berkaitan ancaman haiwan liar seperti gajah dan harimau di kawasan penempatan berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya berharap penduduk Orang Asli mengikut saranan pihak berwajib untuk tidak melakukan tindakan sendiri yang boleh membahayakan nyawa dan keselamatan ahli keluarga mereka. - Bernama