ARAU - Keadaan kanser neuroendocrine tahap empat membuatkan seorang graduan, Mohamad Imhar SN Ibrahim, 39, terpaksa melupakan hasrat untuk menghadiri Istiadat Konvokesyen ke-18 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh Putra pada Rabu.
Malah, keadaan kesihatannya yang semakin merosot menyebabkan graduan Pusat Pembangunan Profesional dan Pembelajaran Berterusan (PDCE) universiti itu kecewa tidak dapat meraikan hari istimewa itu bersama keluarga dan rakan pada majlis berkenaan.
Namun, kekecewaan bapa tiga anak itu sedikit terubat selepas dimaklumkan pengurniaan skrol ijazah sarjana mudanya dilaksanakan di rumahnya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Ia selepas Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Zaliman Sauli mendapat perkenan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP bagi menganugerahkan Sarjana Muda Profesional Pengurusan Fasiliti kepadanya di kediamannya pada Khamis.
Mohamad Imhar berkata, dia sebenanrya sudah menyimpan hasrat untuk menggenggam skrol itu pada Majlis Konvokesyen UniMAP itu, namun keadaan kesihatannya yang tidak menentu menghalangnya untuk hadir.
Katanya, meskipun berasa kecewa tidak dapat berada di pentas bermakna itu, kehadiran Naib Canselor UniMAP ke kediamannya dan mengurniakan sendiri skrol berkenaan menjadi satu kenangan manis.
"Saya disahkan mengidap kanser ini pada tahun 2021 tidak lama selepas saya mendaftar sebagai pelajar.
"Namun saya tetap ingin menyempurnakan pengajian saya kerana itu adalah salah satu kepuasan yang ingin saya capai.
"Malah sokongan isteri, anak-anak serta keluarga menjadi penguat semangat untuk saya terus positif dan fokus pengajian saya,” katanya.
Walaupun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan, dia tetap tidak berputus asa menjalani beberapa siri rawatan untuk menyembuhkan penyakitnya itu.
Sebelum itu, Zaliman tiba di kediaman Mohamad Imhar di Bukit Mertajam untuk menyampaikan skrol Sarjana Muda Profesional Pengurusan Fasiliti sendiri kepada graduan itu.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Profesor Ir Mohd Shukry Abdul Majid, Pendaftar UniMAP, Syahiza Hamzah dan Pengarah PDCE, Profesor Madya Ts Nasrul Hamidin. - Awani