MELAKA - Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah lori yang dipandu warga emas di Jalan Batang Tiga dekat sini pada Khamis.
Dalam kejadian jam 6.24 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Siddiq Amran,24, yang beralamat di Bukit Rambai meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yahama Ego Avantiz dari arah Batang Tiga menghala ke Bukit Rambai.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, kenderaan berat jenis Nissan yang dipandu warga emas berusia 67 tahun dari arah Bukit Rambai ke Batang Tiga dipercayai mahu mengelak sebuah motosikal dari arah sama.
"Akibat rempuhan itu mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka sebelum dituntut waris keluarga," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, polis juga telah mengeluarkan POL 61 bagi melakukan bedah siasat untuk mengetahui punca kejadian.
"Setakat ini tiada saksi bebas tampil memberi keterangan lanjut berkait kejadian itu dan siasatan lanjut masih diteruskan dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987," katanya.