MERAK Jalanan cukup benci dengan orang yang tidak menjaga kebersihan terutama di tempat awam.
Buang sampah merata-rata tanpa memikirkan kesan terhadap orang lain dan alam sekitar. Sakit mata memandang, sakit hati juga dibuatnya.
Semalam akhbar ini melaporkan timbunan sampah sarap di pekarangan Stadium Bukit Jalil, lokasi berlangsungnya konsert Coldplay.
Longgokan sampah plastik makanan dan botol minuman di buang penonton sesuka hati. Ironisnya, Coldplay pernah menyumbang kepada Malaysia untuk membersihkan sampah di sungai negara ini.
Merak Jalanan perhatikan, ia bukan hanya berlaku pada konsert-konsert malah berlaku di mana-mana sahaja termasuk kawasan rekreasi seperti air terjun, pantai dan tasik.
Malah pada sambutan Hari Kebangsaan Ogos lepas juga sesak dengan sampah sarap selepas habis sambutan.
Di perumahan awam seperti rumah PPR dan rumah pangsa, sampah-sarap dibaling dari tingkat atas.
Ini kerana mereka malas nak turun ke bawah. Akhirnya sampah bertaburan. Kasihan penghuni yang tinggal di tingkat bawah.
Inikah adab dan sikap masyarakat kita? Merak Jalanan kadang-kadang tertanya, bagaimana pemikiran mereka ini?
Tong sampah bukan tidak disediakan oleh pihak yang bertanggungjawab tetapi ada segelintir masyarakat yang otaknya diletakkan di lutut kerana lebih suka buang merata-rata daripada dimasukkan ke dalam tong sampah yang disediakan.
Macam mana nak maju kalau buang sampah pun tidak ada disiplin. Dalam hal ini, Malaysia jauh ketinggalan berbanding Jepun dan Singapura.
Malaysia negara Islam. Umat Islam tidak sepatutnya membuang sampah merata-rata. Islam utamakan kebersihan.
Malang dan sedih sekali, masyarakat kita masih kurang kesedaran dan disiplin dalam hal menjaga kebersihan.
Ini yang dikatakan prasarana kelas pertama tetapi mentaliti masih kelas ketiga. Berubahlah rakyat Malaysia!