KERAJAAN Qatar yang bertindak sebagai perunding antara Israel dan Hamas memaklumkan, gencatan senjata sementara seperti yang dipersetujui kedua-dua pihak yang terlibat dalam peperangan hampir tujuh minggu itu akan berkuat kuasa pada pukul 7 pagi (waktu tempatan) ini (Jumaat).
Dalam masa sama, Qatar juga menjangkakan, seramai 13 tebusan rakyat Israel yang berada dalam tawanan Hamas juga akan dibebaskan pada Jumaat, kata jurucakap Kementerian Luar negara itu, Majid al-Ansari.
Menurut beliau, sasaran Qatar ialah rundingan berkenaan sekali gus akan berakhir dengan gencatan senjata yang berkekalan.
Beliau berkata, sebahagian daripada 13 tebusan itu terdiri daripada wanita warga emas dan kanak-kanak yang dijangka dibebaskan sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan).
Kata Majid, pada masa ini tiada sebarang 'pergerakan' di lapangan dan ia hanya akan berlaku pada ruang masa yang ditetapkan setiap hari gencatan yang dipersetujui selama empat hari.
Kesemua tebusan itu akan diserahkan kepada Palang Merah dan ideanya ialah penyerahan akan berlangsung dengan penuh keselamatan bagi semua pihak yang terlibat, jelasnya.
"Kita harus ingat, ini adalah zon perang,” tegas Majid lagi.
Berdasarkan rundingan yang dicapai, Hamas akan membebaskan 50 tawanan dalam tempoh empat hari gencatan sementara itu.
Majid juga mengesahkan beberapa, Qatar menjangkakan rakyat Palestin yang ditahan oleh Israel juga akan dibebaskan.
Namun begitu, beliau tidak dapat berkongsi jumlah rakyat Palestin yang akan dibebaskan oleh Israel.
Israel sahkan 39 rakyat Palestin akan dibebaskan hari ini
TEL AVIV - Pihak berkuasa Israel mengesahkan akan membebaskan 39 rakyat Palestin yang dipenjarakan zionis itu sebagai memenuhi rundingan yang dicapai dengan Hamas, kata seorang pegawainya kepada CNN.
Kesemua banduan berkenaan akan dibawa dari dua penjara iaitu Damon dan Megiddo sebelum dibawa ke penjara Ofer di selatan Ramallah, Tebing Barat bagi melalui pemeriksaan terakhir oleh Palang Merah.
Dari sana, kesemua rakyat Palestin itu akan dibawa melalui Beitunia untuk melintasi sempadan sebelum menuju kampung halaman mereka.
Mereka yang terdiri daripada wanita dan remaja lelaki yang berusia sehingga 18 tahun dijangka antara yang akan dibebaskan.
Menurut laporan CNN, waktu pembebasan mereka masih belum ditentukan, namun begitu, pihak berkuasa Israel menegaskan, banduan Palestin itu tidak akan dibebaskan selagi tebusan Israel di bawah penguasaan Hamas tidak diserahkan.
Terdahulu, agensi berita itu melaporkan seramai 13 tebusan rakyat Israel yang berada dalam tawanan Hamas juga akan dibebaskan sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan) ini.
Menurut kenyataan Hamas, kesemua 13 tebusan itu akan memasuki Israel melalui dua lokasi iaitu Nitzana yang juga sempadan dengan negara Mesir dan akses kedua melalui Kerem Shalom iaitu di seberang Gaza.
Sebaik tiba di wilayah Israel, kesemua tebusan yang dibebaskan akan dibawa menaiki helikopter menuju hospital terdekat di Tel Aviv bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.