Israel tahan pengarah Hospital al-Shifa dakwa bantu pejuang Hamas

Iklan
Pengarah Hospital al-Shifa, Doktor Mohammad Abu Salmiya. - Foto AFP

GAZA CITY - Ketua Pengarah Hopital al- Shifa di Gaza City, yang terbesar di wilayah Palestin dilaporkan telah ditangkap pada Khamis oleh tentera Israel selepas mendakwa kemudahan itu digunakan oleh pejuang Hamas.

Pengarah hospital, Doktor Mohammad Abu Salmiya sering dipetik kenyataan oleh media antarabangsa mengenai keadaan di dalam al-Shifa, tumpuan utama serangan darat Israel berikutan serangan kumpulan pejuang Palestin Hamas pada 7 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Tentera Israel, yang menyerbu hospital minggu lalu mendakwa pejuang Hamas menggunakan kompleks terowong di bawah kemudahan di Gaza City untuk melancarkan serangan.

Bagaimanapun, Hamas dan pegawai hospital telah berulang kali menafikan dakwaan itu.

Iklan

Menurut kenyataan Israel, pengarah hospital itu ditahan untuk disoal siasat berikutan bukti yang menunjukkan Hospital al-Shifa dijadikan sebagai pusat arahan dan kawalan Hamas.

" Terdapat aktiviti Hamas yang meluas" di hospital itu semasa ia di bawah pengurusannya," katanya, sambil menambah bahawa rangkaian terowong Hamas menggunakan elektrik dan sumber lain dari kemudahan itu.

Iklan

Tambahnya lagi, sama ada pengarah itu akan dikenakan soal siasat lanjut bergantung jika dia didapati mempunyai penglibatan dalam aktiviti pengganas.

Dalam satu kenyataan, Hamas berkata pihaknya mengecam sekeras-kerasnya penahanan Mohammad Abu dan rakan-rakannya serta menyeru Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah dan badan antarabangsa lain untuk berusaha ke arah pembebasan serta-merta mereka.

Pada petang Khamis, jurucakap kementerian kesihatan Gaza, Ashraf al-Qudra berkata Hospital Indonesia di Bandar Gaza dihujani serangan bom bertubi-tubi.

"Penjana janakuasa dibom serta sebahagian besar bangunan itu. Kami turut bimbang mengenai pesakit dan kakitangan di hospital ini," tambahnya.

Hospital al-Shifa menyaksikan operasi pasukan khas Israel yang diperluaskan sebagai sebahagian daripada perang Israel terhadap pejuang Gaza.

Pada Rabu, tentera mengiringi wartawan ke aci terowong di kompleks yang mereka katakan adalah sebahagian daripada rangkaian bawah tanah yang luas digunakan oleh Hamas.

Arahan untuk mengosongkan hospital telah dikeluarkan pada hari Sabtu sehingga menyebabkan ratusan pesakit keluar dan berpindah.

Tetapi tentera Israel berkata pemindahan itu dilakukan atas 'permintaan' Mohammad Abu. - AFP