Sirul rayu mahu kekal di Australia, rasa bahaya jika pulang ke Malaysia

Iklan
Sirul ketika wawancara eksklusif bersama Al Jazeera English 101 East yang disiarkan pada Jumaat.

SHAH ALAM - Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006 merayu untuk meneruskan hidup di Australia kerana merasa agak bahaya untuk kembali ke negara ini.

Menerusi satu wawancara eksklusif bersama Al Jazeera English 101 East yang disiarkan pada Jumaat, dia turut memohon maaf kepada keluarga mendiang Altantuya, malah mendakwa tidak bertanggungjawab ke atas pembunuhan itu meskipun telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Persekutuan.

Iklan
Iklan

Dakwanya lagi, dia dijadikan ‘kambing hitam’ dan terperangkap dalam permainan politik serta mengakui menerima RM1 juta ketika berada di Australia daripada seseorang bagi menutup mulut.

"Saya merayu kepada masyarakat di sini (Australia) untuk terima saya. Saya berjanji kepada anak lelaki saya tidak sesekali akan melanggar undang-undang di sini.

Iklan

"Apa sahaja berlaku, saya mahu membina kehidupan bersama anak saya. Saya bukan orang jahat, saya cintakan Australia jauh dari lubuk hati.

"Rasa sangat tidak selamat untuk saya kembali ke sana (Malaysia), berilah peluang kedua dan satu lagi,saya mahu memohon maaf kepada keluarga Altantuya, tolong maafkan saya. Itu sahaja,” katanya kepada saluran agensi antarabangsa tersebut sejak dibebaskan dua minggu lalu dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood, di Sydney.

Iklan

Sebelum ini, Sirul antara sekumpulan tahanan imigresen yang dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi Australia mengatakan bahawa menahan tahanan tanpa tempoh merupakan satu bentuk pelanggaran undang-undang.

Arahan terbabit membatalkan keputusan 2004 yang menyatakan individu bukan warganegara tanpa visa boleh dikenakan tahanan tanpa tempoh tertentu dengan syarat kerajaan berhasrat mengeluarkannya secepat mungkin.

Namun, menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid, kemungkinan besar peluang membawa pulang Sirul ke Malaysia gagal.

Jelasnya, ia kerana terdapat perbezaan peruntukan undang-undang antara Malaysia dan Australia.

Sementara itu, Sirul memberitahu, pegawai polis Malaysia telah bertemu dengannya sehari selepas dia dibebaskan dan memaklumkan Menteri Hal Ehwal Luar Australia ada menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia untuk bertanya khabar terkini.

"Mereka memberitahu beliau saya selamat, tapi saya kecewa apabila lihat berita semuanya jahat tentang saya.

"Jadi, masyarakat di sini sangat takut dengan saya kerana fikir saya berbahaya,” ujarnya.