SEREMBAN - Seorang pemilik syarikat ejen penjualan dan penyelenggaraan penapis air mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan Borang B dalam tempoh lima tahun membabitkan nilai cukai pendapatan RM83,504.
Orang Kena Saman (OKS), Noorzadila Saman, 38, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorhafizah Ishak.
Berdasarkan pertuduhan, OKS gagal mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang B bagi tahun taksiran 2017 hingga 2021 pada atau sebelum 30 Jun pada tahun berikutnya.
Dia gagal mengemukakan penyata itu kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri dengan tiada sebab munasabah yang membabitkan pendapatan bercukai berjumlah RM616,231.
Berikutan itu, OKS telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 112( I A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali dan penalti khas sebanyak tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa LHDN,Hood Ismail dan Muhammad Afiq Ahmad Tajuddin,manakala OKS diwakili peguam Asmawi Ismail.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 29 Disember ini bagi serahan dokumen.