Sesaat terleka, wang simpanan Azhan Rani hilang disedut scammer

Iklan
Azhan Rani mengakui pernah menjadi mangsa penipuan sehingga hilang wang simpanan hasil titik peluhnya bekerja siang malam dalam sekelip mata.

SHAH ALAM - Pelakon Azhan Abdul Rani atau dikenali sebagai Azhan Rani mengakui pernah menjadi mangsa penipuan atau 'scammer' sehingga hilang wang simpanan hasil titik peluhnya bekerja siang malam dalam sekelip mata.

Pelakon yang sinonim dengan watak Ustaz Hamadi itu berkata, kejadian pada dua tahun lalu memberi pengajaran besar dalam hidupnya.

Iklan
Iklan

"Masih segar dalam ingatan saya ketika itu, saya berada dalam kepenatan kerana baru selesai penggambaran sebuah filem dan dalam perjalanan untuk menghadiri penggambaran siri Sembila, yang kini ditayangkan di Astro.

"Tiba-tiba saya dapat satu mesej mengenai pembelian daripada kredit kad sebuah bank yang tidak pernah wujud. Dek kelam-kabut, penat dan marah, maka saya terus hubungi nombor yang tertera," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Iklan

Menurutnya, dari situ panggilan bertukar dari 'pegawai A' kepada 'pegawai B' dan seterusnya ke Bank Negara sehinggalah dalam sekelip mata wang simpanannya habis disedut keluar.

"Kejadian itu beri pengajaran besar dan menjadikan saya lebih berhati-hati pada masa akan datang. Bagi saya, masalah itu tidak pernah selesai.

Iklan

"Memang ada penangkapan baru-baru ini, tapi belum ada sebarang pendakwaan, siapa yang berada di atas masih lagi terlepas. Cuma nasihat saya pada mereka di luar sana, berhati-hati, jangan mudah terpedaya," katanya.

Azhan, 43, berkata, walaupun laporan polis dibuat sampai dua balai dan kertas laporan sehingga enam muka surat sekalipun, duit yang lesap itu tidak mungkin diperoleh semula.

"Saya mengakui apa yang berlaku adalah atas kebodohan diri sendiri dan saya berharap masalah penipuan atau scammer dapat diatasi.

"Kena ingatkan orang sekeliling terutamanya warga emas tentang taktik penipuan ini," katanya.