3,867 penjawat awam Pulau Pinang terima bonus setengah bulan Disember ini

Iklan
Kon Yeow (empat dari kiri) menunjukkan Bajet 2024 Pulau Pinang selepas selesai membentangkannya di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Jumaat.

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang meluluskan bayaran bonus akhir tahun sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam di negeri ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika membentangkan Ucapan Bajet 2024 Pulau Pinang di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemberian itu melibatkan 3,867 penjawat awam dengan pembayaran keseluruhan sebanyak RM6.1 juta.

"Pemberian ini bagi menghargai penjawat awam bagi 2023 yang banyak berjasa dengan kerajaan negeri. Kerajaan Negeri amat bertuah kerana memiliki barisan penjawat awam yang berdedikasi, berintegriti dan komited dalam memastikan dasar-dasar kerajaan negeri dilaksanakan secara berkesan.

Iklan

Kata beliau, bayaran BKK dan pemberian ini akan dibuat pada Disember ini.

Kon Yeow berkata, selain penjawat awam, penyelia dan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, guru Sekolah Menengah Agama Rakyat, guru serta staf sekolah persendirian Cina juga mendapat imbuhan sebanyak RM300.

Iklan

"Pemberian sebanyak RM300 ini juga turut dipanjangkan kepada guru tahfiz, guru pondok dan guru tadika Islam (TADIS) Pulau Pinang yang akan melibatkan tambahan perbelanjaan berjumlah RM1 juta.

"Bayaran BKK dan pemberian ini juga akan dibuat pada bulan Disember ini," katanya.

Kata beliau lagi, jumlah anggaran keseluruhan implikasi kewangan bagi kedua-kedua pemberian bonus itu adalah RM7.1 juta.

"Kerajaan negeri beriltizam dalam meneruskan aspirasi dan gagasan Visi Penang 2030 iaitu ke arah merealisasikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

"Saya bersama-sama dengan barisan kepimpinan pada hari ini serta semua anggota perkhidmatan awam akan terus tekad dan berdiri teguh di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh berintegriti demi menjamin kedaulatan dan kemakmuran negeri ini agar seluruh rakyat Pulau Pinang akan terus bernafas dalam sejahtera, aman dan bahagia," katanya.