KFA kini miliki bangunan pentadbiran sendiri

Iklan
Muhammad Sanusi (duduk, tengah) bergambar bersama sebahagian ahli jawatan eksekutif KFA di Wisma KFA, di sini.

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) dengan rasminya mempunyai pejabat pengurusan sendiri yang dinamakan Wisma KFA ‘House of Kedah Football’ di Jalan Stadium, di sini.

Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, wisma dilengkapi pelbagai kemudahan termasuklah bilik mesyuarat, ruang perbincangan dan ruang kerja terbabit mula beroperasi pada Khamis.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, wisma itu bukan sekadar menjadi satu imej atau identiti, sebaliknya turut melambangkan kesungguhan warga KFA terhadap kelangsungan industri bola sepak Kedah.

"Saya menaruh harapan yang tinggi agar bangunan ini akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya demi pembangunan bola sepak di Negeri Kedah.

Iklan

"Dengan adanya bangunan pengurusan sendiri, sudah tentu saya juga mengharapkan kejayaan yang lebih cemerlang dapat kita kecapi untuk memastikan bangunan ini menjadi imej dan identiti kebanggaan semua warga Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Wisma KFA di Jalan Stadium, di sini pada Khamis.

Iklan

Muhammad Sanusi berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran tenaga-tenaga individu yang berkemahiran untuk turut sama-sama menyumbang bakti, pendapat, idea dan sebagainya untuk membolehkan KFA terus cemerlang di masa hadapan.

Dalam perkembangan sama, tambah beliau, Wisma KFA itu adalah naratif ulang tahun ke- 100 penubuhan KFA pada tahun 2024 sejak ditubuhkan pada tahun 1924.

Jelas Muhammad Sanusi, beliau memasang impian untuk menyediakan sebuah bangunan sebagai pejabat pengurusan KFA ketika mula mengambil alih kepimpinan KFA pada 2020 pagi.

Beliau menyifatkan sukan ini harus diberi penekanan yang lebih menyeluruh dengan meletakkan asas yang kukuh sebelum merangka program-program yang menjurus ke arah pembangunan pada masa akan datang

"Sebuah bangunan pengurusan diurus secara profesional dan kondusif seharusnya wujud bagi membolehkan KFA terus melakar kegemilangan lebih-lebih lagi setelah berlakunya pemisahan dan penswastaan, selain padang bola yang menjadi keutamaan, pasukan bola sepak di Kedah mantap, program-program pembangunan dan lain-lain berkaitan," katanya.

Menurut Muhammad Sanusi, tanggungjawab berat selaku badan induk sukan bola sepak di Kedah menjadikan KFA perlu lebih serius dalam memastikan kelab bola sepak serta ahli gabungan KFA terus berdaya saing.

Sehubungan itu, beliau melahirkan harapan perasmian Wisma KFA itu dapat membakar semangat warga KFA dan industri bola sepak khususnya di Kedah untuk terus menghasilkan kerja berimpak tinggi dan menaikkan martabat sukan bola sepak ke tahap lebih cemerlang.

Katanya, usaha berkenaan perlu seiring dengan kehendak dan perkara yang digariskan Badan Induk Bola Sepak Tanah Air Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).