ISWAMI puji kepimpinan Anwar, kukuhkan hubungan Malaysia-Indonesia

Iklan
Anwar - Foto Bernama
JAKARTA - Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) memuji hubungan kukuh antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin Indonesia semasa kepimpinannya selama setahun.

Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan dalam artikel bertajuk ‘Setahun PM Anwar Sahabat Erat Indonesia’ yang diterbitkan Antara turut menekankan kepentingan kebebasan media seperti dinyatakan Anwar di Ipoh, Perak pada Mei lalu.

Menurut Asro, hubungan Anwar di Indonesia dan persahabatan dengan tokoh-tokoh nasional serta sokongan daripada tokoh berpengaruh termasuk bekas presiden BJ Habibie sebelum ini telah menyumbang kepada hubungan positif ini.

"Tidak hairan, apabila PM Anwar membuat lawatan rasmi negara pertamanya ke Indonesia pada 9 Januari, beliau disambut khas oleh Presiden Joko Widodo di Istana Bogor, termasuk dengan pasukan berkuda,” jelas Asro.

Semasa pertemuan dengan Jokowi, Anwar menyampaikan,"hubungan saya bukan sekadar hubungan diplomatik biasa. Indonesia mempunyai tempat yang istimewa di hati saya.”

Susulan acara kenegaraan itu, ratusan tokoh nasional Indonesia berkumpul di Menara Bank Mega, Jakarta untuk Forum Kepimpinan CT Corp yang dihoskan oleh ahli perniagaan terkemuka Indonesia, Chairul Tanjung.

Anwar yang merupakan penceramah tunggal, menarik ramai aktivis demokrasi, antirasuah, hak asasi manusia dan wartawan kanan tempatan untuk mendengar sahabatnya berpidato.

"Suasana majlis itu terasa seperti reunion. Anwar menjadi magnet dan pemidato yang hebat yang memikat penonton dengan fasih bahasa Indonesianya. Tepukan bergema dengan setiap modulasi suaranya,” tulisnya.

Anwar antaranya bercakap soal menangani isu ekonomi yang tidak stabil akibat Covid-19 serta menekankan kepentingan menunjukkan kerendahan hati, mengelak daripada menggunakan kuasa untuk memperkaya peribadi dan mengekalkan prinsip nilai dan akhlak mulia.

Asro turut menjelaskan hubungan Anwar yang sudah lama terjalin di Indonesia, termasuk penglibatannya dengan tokoh nasional sejak zaman muda dan penubuhan Kesatuan Pelajar Islam Asia Tenggara.

Di sebalik hubungan positif antara pemimpin di kedua-dua negara, Asro menyatakan bahawa hubungan antara rakyat terutama di media sosial tidak begitu menggembirakan.

Di Ipoh, Perak, beberapa editor dari Jakarta dan perwakilan ISWAMI termasuk Asro bertemu Anwar semasa Hari Wartawan Nasional (Hawana).

Anwar menyampaikan berita gembira dengan menekankan bahawa"media di Malaysia mesti bebas sepenuhnya,” sambil mengingkatkan tindakan undang-undang boleh diambil jika ia menggalakkan permusuhan etnik atau mempersempit agama sehingga menimbulkan keresahan masyarakat.

"Kami mengalu-alukan kenyataan PM Anwar di Perak yang meluaskan kebebasan media, walaupun kemajuan mungkin terasa perlahan dan destinasi masih belum kelihatan. Kami percaya ia hanya menunggu masa,” tulis Asro.

ISWAMI yang diasaskan pada 2005 bertujuan untuk memupuk hubungan dinamik antara rakyat kedua-dua negara, menangani isu-isu seperti pertikaian sempadan, buruh dan perkara sosiobudaya melalui penyebaran maklumat.

"Tahniah atas setahun kepimpinan PM Anwar di Malaysia. Insya-Allah, semua perancangan akan berjalan seperti yang diharapkan. Semoga Malaysia dan hubungan kedua-dua negara bertambah berjaya,” tambah Asro. - Bernama