Perak rekod empat ancaman bom palsu di sekolah

Iklan
Mohd Yusri menunjukkan paparan hasil Op Tapis yang dijalankan serentak seluruh negeri selama tiga hari bermula Isnin lalu dalam sidang akhbar pada Jumaat.

IPOH - [DIKEMAS KINI] Polis Perak menerima empat laporan ancaman bom palsu membabitkan bangunan sekolah dalam tempoh empat hari sejak Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, jumlah itu melibatkan sekolah antarabangsa di Ipoh dan Kampar serta sekolah pendidikan khas di Manjung dan Taiping.

Mohd Yusri dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua ancaman berkenaan diterima pihak sekolah menerusi akaun emel yang tidak dikenal pasti menggunakan modus operandi sama seperti berlaku di negeri-negeri lain.

"Meskipun ancaman bom ini negatif, siasatan lanjut tetap dijalankan. Laporan-laporan telah dihantar kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam sidang akhbar kejayaan Op Tapis Khas Kontinjen Perak di sini pada Jumaat.

Iklan

Media melaporkan, sebanyak 51 kes ancaman bom palsu melibatkan 51 sekolah di sembilan negeri telah dilaporkan setakat ini dengan laporan paling tinggi diterima di Selangor iaitu 18 kes.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, polis tidak sesekali mengambil mudah terhadap ancaman sedemikian kerana membabitkan kepentingan awam terutama di sekolah.

Iklan

Katanya, tindakan seperti pengosongan dan pembersihan keselamatan di kawasan sekolah terlibat, dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya.

"Polis tidak ambil mudah dalam perkara ini, sekiranya terima laporan ancaman bom, kita tanganinya sepertimana SOP termasuklah menghantar Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Unit Anjing Pengesan K9," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Op Tapis yang dijalankan serentak seluruh negeri selama tiga hari sejak Isnin itu berjaya membongkar 23 sarang penagih antaranya di jeti nelayan, kawasan kediaman program perumahan rakyat (PPR) dan skim Felda serta Felcra.

Menurutnya, seramai 486 orang berusia lingkungan 16 hingga 67 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah melibatkan sembilan warga asing dan selebihnya warga tempatan.

"Menerusi operasi ini, kita berjaya membuat tangkapan ke atas 15 individu yang dikategorikan sebagai orang dikehendaki," katanya.

Antara jenis dadah dirampas dalam operasi itu adalah heroin seberat 235.67 gram, syabu (234.2 gram), ganja (48.71 gram), 10 kilogram daun ketum, 32.45 liter cecair ketum dan 30 biji pil Erimin 5 yang dianggarkan bernilai lebih RM55,000.