AMPANG - Perbuatan seorang lelaki menggunakan lesen memandu palsu yang didakwa dibeli menerusi media sosial terbongkar apabila ditahan dalam Op Sekatan Bersepadu sekitar Pandan Indah dekat sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi dijalankan kira-kira jam 10 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Suspek mulanya dilihat menunggang sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan dalam operasi berkenaan.
"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek berumur 32 tahun itu memiliki lesen memandu palsu," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, siasatan mendapati suspek membeli lesen memandu palsu itu menerusi iklan yang dipaparkan dalam Facebook.
"Suspek menyatakan membeli lesen memandu itu dengan harga RM1,200 sekitar Julai lalu.
"Suspek bersama motosikal ditunggang kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Ampang untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 108(3)(g) Akta Pengangkutan Jalan 1987.