TEMERLOH - Penduduk di Kampung Batu Kapor di Mentakab di sini sudah mula membuat persediaan berdepan banjir sejak awal bulan ini.
Kampung tersebut antara lokasi utama di daerah ini yang sering dilanda banjir setiap tahun dan terburuk pada 2021, majoriti rumah penduduk ditenggelami air hingga ke paras bumbung.
Penduduk memaklumkan sudah mengemas dan menyimpan barangan penting milik mereka bagi memudahkan urusan berpindah segera apabila berlaku banjir nanti.
Bagi Mohd Farid Ahmad Razali, 35, dia sudah mula mengemas sejak awal bulan ini kerana trauma dengan episod banjir besar pada 2021 lalu.
"Saya dan keluarga mula buat persediaan sedikit demi sedikit, kemas dan bungkus barangan penting untuk mengelakkan kerugian lebih besar.
"Cukuplah dengan pengalaman banjir besar sebelum ini, jadi bila dah banjir senang untuk kami sekeluarga berpindah, angkut terus dalam kenderaan.
"Namun apa-apa pun saya berharap tidak lagi berlaku banjir besar dan berdepan lagi kejadian yang menyedihkan hingga rumah ditenggelami air pada 2021," ujar peniaga tersebut.
Seorang peniaga kedai runcit, Nurul Rahmah Ariyadi, 26, memberitahu, kedai milik keluarganya sudah mula mengurangkan stok jualan terutamanya barangan kering sejak minggu ini susulan keadaan cuaca.
"Ia sebagai persediaan untuk mengelakkan stok barangan rosak dan kerugian apabila banjir.
"Kalau barangan rumah, memang sejak banjir sebelum ini hanya menggunakan yang penting supaya mudah mengemas dan berpindah nanti," jelas Nurul lagi.
Dalam pada itu, seorang suri rumah, Siti Norbaya Syukur, 39, memberitahu, tidak membeli banyak perabot sejak kejadian banjir besar yang lalu.
"Hanya gunakan barangan diberikan oleh beberapa pihak sahaja, serik dengan kejadian lalu.
"Dengan pengalaman sebelum ini, kami sekeluarga sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk berpindah jika banjir berlaku," jelas wanita terbabit.