'Jentera pilihan raya terbaik Pas ada di Kemaman' - Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi hadir merasmikan Karnival 10 Tahun Masjid Andalusia, Sungai Petani pada Jumaat.

SUNGAI PETANI - Pas yakin dengan kekuatan jentera terbaik yang dimiliki berjaya mengekalkan kemenangan bagi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti lebih 30,000 pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 2 Disember depan.

Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat ini, jentera pilihan raya Pas yang terbaik di Malaysia ada di Terengganu dan sedang berkempen pada ketika ini.

Iklan
Iklan

"Jentera pilihan raya terbaik Pas Malaysia ada di Terengganu, pasukan terbaik dan depa sedang beraksi di pentas Kemaman, saya tak bimbang apa pasal jentera.

"Memang peluang (untuk menang) cuma tidak boleh ambil mudah, saya pun dah pesan dekat jentera agar tidak ambil mudah," katanya semasa merasmikan Karnival 10 Tahun Masjid Andalusia, di sini pada Jumaat.

Iklan

Dalam masa sama, Menteri Besar Kedah yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu bagaimanapun tetap merayu pengundi di Kemaman untuk terus menyokong kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi membidas tindakan membabitkan penggunaan jentera kerajaan bagi tujuan berkempen.

Iklan

"Jentera kerajaan ini digunakan oleh depa itu lah sejak lepas merdeka, sesuatu yang baru walaupun berulang kali kita menyeru supaya tidak menggunakan jentera kerajaan, 'apparatus' negara, kakitangan awam, agensi kerajaan tak boleh guna untuk pilihanraya, kepentingan parti tetapi mereka tetap mengulangi.

"Ya lah saya rasa rakyat kena memberi pintu keluar, tak boleh guna dana kerajaan, tak boleh agensi kerajaan tak boleh dana awam, tak boleh! Itu hak semua orang," katanya.

Apabila ditanya tentang rayuan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mahukan pengundi beri peluang kepada Barisan Nasional (BN) agar menjadi jambatan kepada Kerajaan Persekutuan, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa Pas akan kembali menguasai Parlimen itu.

"Itu dah meraih guna simpati kan? Saya rasa kita pun nak ambil alih Kerajaan Persekutuan jadi teruslah bagi kepada Perikatan Nasional (PN)," katanya.

Pada PRU15 lalu, calon Pas, Che Alias Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said sekali gus menyaksikan Pas mendominasi kesemua lapan kerusi Parlimen di negeri berkenaan.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan Che Alias.

Ia selepas pihak pempetisyen Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada pilihan raya itu.

Pada 3 Oktober lalu, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.