PUTRAJAYA - Sebanyak RM15 juta geran diperuntukkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi merealisasikan Rural Business Challenge 2.0 (RBC 2.0).
Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang berkata, penganjuran program ini membolehkan usahawan luar bandar berpotensi merealisasikan idea bernas yang diterjemahkan kepada satu pelan perniagaan berdaya maju.
"Ia juga mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan penduduk tempatan luar bandar serta mewujudkan kawasan luar bandar yang menarik untuk didiami," katanya menerusi ucapan pelancaran pertandingan RBC 2.0 di Karnival Usahawan Desa (KUD @Putrajaya) di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, Kajian Impak Pelaksanaan RBC 2021 mendapati bahawa, sekurang- kurangnya 16 orang usahawan luar bandar telah mencapai status jutawan melalui program tersebut.
"Sebanyak 89 peratus daripada responden telah berjaya melahirkan sehingga 50 orang usahawan baru selepas menyertai RBC," katanya.
Rubiah berkata, RBC merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mentransformasikan luar bandar agar sejajar dengan konsep maju, menarik dan menguntungkan dalam pembangunan sosio ekonomi luar bandar.
Program RBC telah diperkenalkan sejak tahun 2012 melalui Transformasi Program Kerajaan (GTP) 2.0 di bawah Youth Entrepreneur Driven Model Desa Abad ke-21 khususnya untuk program keusahawanan belia.
Ia diberi nafas baru tahun ini dengan beberapa penambahbaikan yang dikenali sebagai RBC 2.0.
Bagaimanapun, ia masih mengekalkan konsep asalnya iaitu sebuah program pengembangan perniagaan melalui penganjuran pertandingan penyediaan rancangan perniagaan.
Antara penambahbaikan termasuk pementoran dan pemantauan pemenang RBC 2.0 oleh usahawan yang berpengalaman, penyertaan dan penilaian secara atas talian.
Ujar Rubiah, usahawan belia luar bandar yang berpotensi digesa memanfaatkan peluang keemasan itu sebaik-baiknya dengan mengemukakan permohonan dan bersaing secara sihat dalam program berkenaan.
"Saya juga percaya melalui inisiatif ini, umpama berkayuh sambil bertimba di mana kita juga boleh memulihkan semula dan merapatkan jurang ekonomi komuniti luar bandar selaras dengan kerangka Ekonomi Madani untuk mengangkat semula ekonomi Malaysia yang akhirnya dapat membawa limpahan hasil kepada rakyat bagi menikmati kehidupan lebih berkualiti," katanya.
Tambah beliau, kementerian menyasarkan 2,500 penyertaan RBC 2.0 yang dibuka mulai sekarang sehingga 31 Januari depan.
"Hadiah adalah berbentuk geran dan pemenang disyaratkan supaya melaksanakan perniagaan sebagaimana dicadangkan dalam rancangan perniagaan (RP) berdasarkan jumlah geran perniagaan yang dimenangi.
"Kesemua RP yang dikemukakan akan dinilai secara komprehensif melalui lima peringkat penilaian," katanya.
Terdahulu, Rubiah menyampaikan sijil graduasi peserta aktiviti bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J) kepada 19 orang usahawan desa yang telah mencapai jumlah nilai jualan melebihi RM 1 juta selepas 12 bulan mengikuti aktiviti bimbingan KU1J@KPLB.