SHAH ALAM - Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak mempertahankan jawatan sebagai presiden pada pemilihan parti akan datang hanya bersifat cadangan ketika ini.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, perkara tersebut tidak semestinya akan diterima oleh pimpinan serta ahli akar umbi parti.
"Saya nak maklumkan di sini, tadi baru ucapan Tan Sri (Muhyiddin), jangan persoalkan kerana kita belum buat keputusan untuk tidak terima.
"Itu baru cadangan dan saya tidak melihatnya sebagai isu besar,” katanya pada sidang akhbar selepas selesai ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 di Pusat Konvensyen Ideal pada Jumaat.
Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan dasar mengumumkan tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya bagi memberi peluang kepada pemimpin pelapis menerajui parti.
Dalam pada itu Hamzah menegaskan, semua Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti turut bersetuju Ahli Parlimen Pagoh itu hanya tidak pertahankan jawatan dan bukannya meletak jawatan.
"Kita tidak cadangkan sesiapa pun (ganti), dia (Muhyiddin) tetap jadi presiden kita,” ujarnya.
Muhyiddin umum tidak pertahan jawatan
SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya pada pemilihan parti itu akan datang.
Pengumuman berkenaan dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (PAT) Bersatu 2023 kali ke-6 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Jumaat.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat bagi memberi peluang kepada pemimpin pelapis menerajui parti.
"Pada hari Jumaat yang mulia dan penuh barakah ini, saya ingin mengumumkan bahawa masa untuk saya mewariskan kepimpinan parti kepada barisan kepimpinan yang baharu telah pun tiba.
"Untuk itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden dalam pemilihan parti yang akan diadakan sebelum hujung tahun hadapan yang tarikhnya akan ditentukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam masa sama turut mencadangkan supaya barisan kepimpinan kanan parti bermusyawarah bagi mengenal pasti tokoh yang layak untuk meneruskan perjuangan Bersatu.
Ujarnya, langkah itu penting bagi memastikan kekuatan yang ada pada parti dapat digembeleng dengan lebih jitu lagi pada masa hadapan.