Indeks Pelopor Malaysia bertambah baik pada September

Iklan
IP Malaysia bertambah baik kepada negatif 0.3 peratus dengan merekodkan 109.3 mata pada September. - Gambar hiasan

INDEKS Pelopor (IP) Malaysia bertambah baik kepada negatif 0.3 peratus dengan merekodkan 109.3 mata pada September 2023 berbanding negatif 0.5 peratus pada bulan sebelumnya, menjangkakan prospek ekonomi yang lebih baik dalam masa terdekat, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

IP adalah alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Iklan
Iklan

DOSM menjelaskan berdasarkan arah aliran jangka panjang terlicin pada September 2023, IP kekal di bawah trend 100.0 mata dan meskipun masih berada di bawah trend, ekonomi Malaysia dijangka tumbuh sederhana, disokong oleh permintaan domestik yang menggalakkan di tengah-tengah cabaran mata wang dan kelembapan ekonomi dunia.

Menerusi kenyataan mengenai Penunjuk Ekonomi Malaysia Indeks Pelopor, Serentak & Susulan September 2023 pada Jumaat, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (20.8 peratus) dan bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (17.6 peratus) menyumbang secara positif kepada IP.

Iklan

"Merujuk kepada prestasi bulanan, IP mencatatkan negatif 0.4 peratus pada bulan rujukan berbanding 0.7 peratus pada bulan sebelumnya, berikutan prestasi yang kurang memberangsangkan dalam import benar logam asas berharga & logam bukan ferus lain ( -1.0 peratus) dan bilangan syarikat baru didaftar (-0.8 peratus),” katanya.

Menurut DOSM, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa, meningkat 2.1 peratus kepada 123.8 mata pada September 2023 berbanding 121.2 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Iklan

"Peningkatan ini diterajui oleh Nilai Caruman Benar, KWSP (8.6 peratus), diikuti oleh Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (3.6 peratus),” jelasnya.

DOSM memaklumkan bahawa pada masa yang sama, perubahan bulanan IS turut meningkat sebanyak 0.2 peratus dengan jumlah guna tenaga dalam pembuatan menjadi penyumbang utama kepada peningkatan ini (0.3 peratus). - Bernama