Anwar tetapkan penanda aras, kekalkan daya tahan ekonomi

Iklan
Anwar - Foto File Bernama

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyambut ulang tahun pertama sebagai Perdana Menteri ke-10 dan mentadbir Kerajaan Perpaduan hari ini, telah menetapkan satu penanda aras baharu dalam kepimpinan meskipun bergelut dengan pelbagai cabaran politik dalaman dan ekonomi global.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, pengalaman Anwar sejak menjadi pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 70-an telah membentuk karakter beliau sebagai pemimpin nombor satu negara.

Iklan
Iklan

"Beliau malah turun padang ke universiti-universiti melalui program Temu Anwar. Saya kira ini satu penanda aras yang baik kepada menteri dan pemimpin politik kerana mereka bukan sahaja menentukan dasar-dasar di pejabat tetapi turun ke padang dan melihat sendiri bagaimana realiti senario masyarakat kita.

"Penanda aras yang ditonjolkan Perdana Menteri ini harus diikuti oleh menteri-menteri lain,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Siaran Khas Setahun PMX, terbitan Bernama TV pada Jumaat.

Iklan

Dalam isu Palestin, beliau berkata, hubungan Anwar dengan pemimpin luar membantunya untuk lantang menyuarakan suara Malaysia di pentas antarabangsa termasuk pada Mesyuarat ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat (AS) dan Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) baru-baru ini.

Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 November 2022, lima hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum mengumumkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri serta 28 ahli Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan pada 2 Disember 2022.

Iklan

Sementara itu, Pensyarah Kanan Komunikasi Liberal Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Abdul Aziz Azizam berkata, tugas Anwar bukan perkara mudah khususnya dalam menyatupadukan banyak parti politik tanah air yang berlainan prinsip dan seterusnya mengemudi ‘kapal kerajaan’.

"Saya berpendapat beliau berjaya mewujudkan dan menstabilkan kerajaan selama 12 bulan.

"Kebisingan demokrasi, perbezaan pendapat itu biasa dalam tadbir urus demokrasi. Pada masa sama, itulah yang memberi kekuatan kepada kerajaan apabila dapat mengendalikan perbezaan pendapat dan menjelaskan apa hala tuju pentadbiran semasa,” kata penganalisis politik itu.

Dalam aspek ekonomi pula, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pencapaian utama yang berjaya dibawakan oleh Perdana Menteri antaranya ialah mengekalkan daya tahan ekonomi dan daya saingan negara meskipun secara keseluruhannya landskap ekonomi global sekarang mencabar dan berada di luar kebiasaan.

Beliau berkata, ia terbukti apabila kadar pertumbuhan ekonomi masih lagi positif dengan mencatatkan 3.3 peratus pada suku ketiga tahun ini, di sebalik pelbagai naratif perubahan landskap ekonomi global serta cabaran kerajaan dalam mentadbir negara.

"Jadi saya kira itu suatu perkara yang boleh kita raikan kerana pertumbuhan yang positif sebenarnya penting. Apabila ekonomi itu bertumbuh dalam momentum yang positif bermakna ekonomi kita mampu menciptakan pekerjaan dan ini terbukti apabila kadar pengangguran negara turut terus turun.

Mohd Afzanizam berkata, pembentangan beberapa dokomen penting antaranya New Industrial Master Plan (NIMP) 2030 bagi memberi naratif tentang hala tuju ekonomi negara turut menunjukkan komitmen kerajaan dalam meraikan perubahan landskap ekonomi semasa.

Ini termasuk mengambil kira perubahan iklim yang berlaku pada masa ini agar satu pelan ekonomi yang lebih lestari dapat direncanakan, yang mana setakat ini pelbagai sasaran telah ditetapkan untuk dicapai.

"Jadi berbekalkan dokumen-dokumen ini, saya kira para pelabur boleh melihat tahap keseriusan kerajaan dalam mentadbir ekonomi negara. Itu dari segi pelabur tetapi sekarang apa yang turut lebih penting ialah hubungan atau komunikasi kerajaan dengan rakyat,” katanya - Bernama