"HARAP ini bukan terakhir...
Itu harapan Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin selepas kejayaan anak buahnya, Qabil Irfan Azlan merangkul juara perlumbaan Kategori 160cc Kejuaraan Motosikal Siri Dunia Akhir FIM MiniGP di Valencia, Sepanyol.
Malah, Zulfahmi menyifatkan kejayaan diraih pelumba berusia 11 tahun itu satu pencapaian menakjubkan apabila buat pertama kali Malaysia muncul juara dalam perlumbaan motosikal.
"Saya gembira dapat menyertai sebahagian daripada kejayaan Qabil pada minggu ini Qabil merupakan pelumba berbakat mempunyai persekitaran sokongan positif daripada keluarga dan orang-orang di sekelingnya di Terengganu yang sentiasa menyokong kariernya.
"Saya harap perancangan untuk Qabil pada tahun depan dapat diteruskan, namun perlu berbincang dengan banyak pihak, dan saya harap kejuaraan motosikal siri dunia diraih Qabil hari ini bukan yang terakhir," katanya.
Qabil Irfan sebelum itu mencipta sensasi apabila menjuarai Kategori 160cc Kejuaraan Motosikal Siri Dunia Akhir FIM MiniGP di Litar Ricardo Tormo.
Mengenai prestasi barisan pelumba negara, Zulfahmi berpuas hati dengan komitmen diberikan barisan pelumba mudanya.
"Kategori 190cc, pelumba kita Emil Idzhar dan Adi Putra tidak dapat ke final, manakala Farish Hafiy mengakhiri saingan kelompok kelima keseluruhan
"Kategori 160cc, pula ZK Racing sangat bangga dapat membantu prestasi Qabil yang membolehkan kita menjadi juara dunia selepas dua tahun berlumba dalam kejuaraan dunia akhir.
"Saya harap kejayaan ini dapat meletakkan sukan permotoran Malaysia ke satu tahap yang lebih baik. Saya juga berharap Malaysia dapat melahirkan lebih ramai pelumba seperti Qabil dengan sokongan berterusan penaja seperti SIC (Litar Antarabangsa Sepang) dan MAM (Persatuan Sukan Bermotor Malaysia pada masa depan," katanya.