SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan Dana Bantuan Kemanusiaan Umat Islam Palestin berjumlah RM4,374,280.63 kepada Tabung Musa'adah Palestin Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, dana berkenaan adalah sumbangan umat Islam melalui kutipan yang dibuat di masjid-masjid dan surau-surau seluruh Selangor.
"Beta mendoakan agar ALLAH SWT memberi ganjaran amal soleh atas infak yang disumbangkan oleh rakyat negeri Selangor untuk membantu umat Islam di Palestin.
"Beta telah menitahkan agar pengumpulan dan penyaluran sumbangan rakyat Selangor dapat dibuat dan diselaraskan melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) bermula 13 Oktober 2023 lalu.
"Ini bagi menentukan agar pengelolaan dana dapat dibuat secara tersusun, bertanggungjawab, telus dan lancar," titah baginda dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sultan Sharafuddin Idris Shah turut bertitah, penyelarasan oleh TIJARI turut memberi jaminan setiap infak umat Islam di Selangor dapat disampaikan terus kepada rakyat Palestin tanpa sebarang ketirisan dan mengelak berlaku penyaluran dana kepada pihak tidak berwibawa.
Baginda turut berdoa semoga ALLAH SWT dapat melindungi kemuliaan Masjid Al-Aqsa agar umat Islam dapat mendirikan solat dan membuat amal ibadat secara aman.
"Beta juga berdoa semoga ALLAH SWT memberi kemenangan kepada pejuang rakyat Palestin untuk menghapuskan kezaliman Zionis Israel dan hak-hak mereka dikembalikan serta dapat mewujudkan sebuah negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat," titah baginda lagi.