SABAK BERNAM - Kegiatan penyeludupan yang menjadikan sebuah rumah sebagai lokasi persembunyian pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar menerusi serbuan di Jalan Besar Kampung Perenggan, Sungai Ayer Tawar dekat sini pada Selasa.
Ops Pintas dijalankan Bahagian Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), D3, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman kira-kira jam 8.45 malam itu memberkas 29 PATI dari Indonesia berusia lingkungan 24 hingga 42 tahun.
Difahamkan, rumah berkenaan dipercayai dijadikan tempat transit atau rumah penampungan migran yang keluar dan masuk ke negara ini.
Menurut sumber, dua daripada 29 PATI yang ditahan dipercayai bertindak sebagai penjaga rumah penampungan terbabit.
"Operasi dijalankan susulan hasil risikan dan maklumat awam yang diterima berhubung kegiatan terbabit," katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah D3 ATIPSOM, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan operasi tangkapan terbabit.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan PATI diminta agar menyalurkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dijalankan," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1956/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1956/63.