Pemilihan jawatan Presiden Amanah: Tukar atau kekal?

Iklan
Mohamad (kiri), Mujahid

KEDUDUKAN Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu bakal tercabar atau digantikan oleh tokoh lain akan terjawab kira-kira satu bulan lagi apabila pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah sesi 2023-2026, serentak penganjuran Konvensyen Nasional Amanah 2023 pada 22 hingga 24 Disember ini.

Dalam tempoh beberapa hari tersebut, sudah timbul perkara yang menyentuh hal kepimpinan, gerak kerja parti dan pelbagai isu lain.

Iklan
Iklan

Apabila ada pemilihan, timbul pelbagai pandangan termasuk berkaitan tokoh politik Amanah yang dijangka kekal atau gugur.

Apa pun dalam politik mana-mana parti, itu perkara biasa. Paling penting seperti mana yang ditekankan sejak tertubuhnya parti ini pada 16 September 2015, kepimpinan Amanah akhirnya akan diputuskan melalui syura.

Iklan

Ini bermakna dalam konvensyen itu para perwakilan akan memilih 27 orang dan kemudian dalam mesyuarat kumpulan ini bersama ketua Sayap Wanita, Pemuda dan Wardah (Wanita Muda) akan memilih dan memutuskan siapa menjadi presiden, timbalan dan sebagainya untuk memimpin Amanah bagi penggal hadapan.

Kaedah ini berdasarkan prinsip syura (rundingan bersama), ukhuwah dan perpaduan. Yang dipilih mengisi jawatan bukan atas dasar dia bersama dengan kelompok tertentu, tetapi dipilih atas merit diri sendiri.

Iklan

Ketika ini jawatan timbalan presiden yang kosong setelah Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia belum diisi, kurang kedengaran desas-desus tentang nama calon untuk diletakkan pada jawatan itu. Sebaliknya, banyak cakap-cakap tentang untuk meletakkan nama calon lain bagi jawatan Presiden Amanah.

Perlembagaan Amanah menetapkan seseorang hanya boleh menjadi presiden selama tiga penggal berturut-turut. Jika Mohamad Sabu terpilih sekali lagi, ia merupakan penggal terakhirnya untuk mengetuai parti tersebut.

Bagaimanapun sudah wujud percaturan untuk menggantikan Mohamad yang sudah lapan tahun memimpin Amanah.

Ada tanggapan jika ditukar presiden mungkin perubahan itu boleh menjejaskan imej parti. Tetapi pada masa sama ada yang beranggapan sebaliknya, Amanah perlu satu pembaharuan untuk memberikan yang terbaik kepada parti.

Persoalannya tiada siapa yang tahu apa bakal berlaku dan takdir pemimpin Amanah sekarang dan seterusnya.

Takdir Amanah dahulu yang diasaskan oleh Mohamad Sabu bersama Gerakan Harapan Baru (G18) adalah saluran baharu untuk 18 bekas ahli politik Pas yang dipecat daripada parti itu meneruskan misi politik mereka.

Sejak Mohamad dipilih sebagai Presiden parti itu, daripada sejumlah 35,000 ahli pada pelancaran parti secara rasmi pada 16 September 2015, kini Amanah berjaya mengumpul lebih 200,000 ahli.

Jumlah berkenaan memperlihatkan populariti kepimpinan Mohamad membawa Amanah sebagai sebuah parti politik telah meningkat dan berjaya mendapat tempat di hati rakyat.

Kali pertama parti diterajui Mohamad menyertai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah berjaya menangkis beberapa 'mitos politik', misalnya parti serpihan akan gagal menjadi kerajaan atau tidak mampu bertahan lama dan terkubur.

Nampaknya Amanah berbeza, parti baru itu sudah membuktikan mampu menjadi sebahagian kerajaan, bukan sekali bahkan dua kali.

Amanah menganggotai pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada 2018 selepas memenangi 11 kerusi Parlimen. Lima Ahli Parlimen Amanah dilantik sebagai menteri dan lima termasuk seorang senator dilantik sebagai timbalan menteri. Selepas pertukaran pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada 2020, jawatan Kabinet dalam kalangan pemimpin Amanah terlucut.

Bagaimanapun selepas PRU15 pada 2022, Mohamad memimpin Amanah bersama-sama DAP dan PKR dalam Pakatan Harapan bersekutu dengan Warisan, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Barisan Nasional (BN), dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bagi memperkukuhkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR.

Dalam barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan itu, Amanah diberi tanggungjawab mengemudi dua kementerian. Presidennya, Mohamad selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan manakala Timbalan Presiden Amanaha ketika itu, Allahyarham Salahuddin sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Sungguhpun isu beras dan harga ayam serta telur melibatkan imej Mohamad sebagai menteri yang patut bertanggungjawab tetapi kedudukan sebenar punca masalah tersebut kepada rakyat dikatakan bermula sejak pentadbiran kerajaan terdahulu.

Malah beliau dilihat tidak ketandusan idea untuk menangani isu berkenaan dengan baik.

Prestasi Presiden Amanah itu dalam menerajui parti, ahli, dan menangani isu rakyat dan negara menjadi kayu ukur para perwakilan untuk menilai kredibiliti Mohamad.

Baru-baru ini Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa sudah mencanangkan bahawa beliau sedia memikul tanggungjawab lebih besar sekiranya namanya tersenarai lima yang menerima sokongan tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa Nasional Parti Amanah bagi sesi 2023-2026.

Beliau juga sedar, berdasarkan sistem diamalkan Amanah, tiada pertandingan satu lawan satu bagi lima jawatan tertinggi itu meliputi presiden, timbalan presiden atau tiga naib presiden seperti yang diamalkan parti politik lain.

"Jadi tiada guna saya beritahu saya mahu jadi (bertanding) presiden atau sebagainya... kita (Amanah) bukan bertanding untuk jawatan, tetapi mahu menjadi lima tertinggi yang mendapat sokongan,” kata Mujahid dalam pertemuannya bersama beberapa editor kanan media arus perdana baru-baru ini.

Tempoh tinggal kira-kira satu bulan untuk para pemimpin parti itu menggerakkan strategi dan kempen masing-masing.

Berbanding dengan tokoh-tokoh pemimpin Amanah yang lain dan belum menyatakan pendirian masing-masing dalam pemilihan parti kali ini, pengumuman Mujahid membuka banyak mata melihat adakah beliau tokoh pesaing yang dijangka berdepan dengan Mohamad.

Mujahid adalah salah seorang Naib Presiden Amanah dan pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2018-2020. Kegagalan Mujahid mengekalkan kerusi Parlimen Parit Buntar pada Pilihan Raya Umum 2022 lalu mencalarkan sedikit reputasinya.

Menjelang pemilihan pada Disember ini, perwakilan Amanah akan membuat perhitungan sama ada mengekalkan status quo atau bertukar pucuk pimpinan.

Dalam Konvensyen Nasional Amanah 2023 yang bermula 22 hingga 24 Disember ini, kira-kira 1,000 perwakilan meliputi 190 kawasan layak memilih untuk pemilihan 27 jawatan pimpinan utama itu.

Sesungguhnya sukar untuk menjangka kekuatan pengaruh pemimpin Amanah. Hasrat para pemimpin Amanah yang menolak politik kotor antaranya seperti ‘cah keting’ dan ‘chai’ dalam pemilihan Jawatankuasa Pengurusan Nasional akan diuji kali ini.

Menjelang pemilihan pada Disember ini, perwakilan Amanah akan membuat perhitungan sama ada mengekalkan status quo atau bertukar pucuk pimpinan.

Dalam meneruskan kelangsungan politik Amanah, para pemimpinnya perlu mempersiapkan barisan pemimpin muda untuk menjalani proses peralihan tampuk kepemimpinan utama parti. Ini adalah tanggungjawab barisan veteran politik Amanah.

Pemimpin Amanah tidak perlu mengulangi kesilapan ketika bersama Pas dahulu apabila sentimen mengambil alih proses pemilihan parti sehingga menyebabkan pemimpinnya yang berbakat diketepikan.

Dalam hal ini, barisan kepimpinan Amanah perlu diperkukuhkan. Peralihan kepada pimpinan baharu akan tetap berlaku bila tiba masanya.

Tetapi biarlah perubahan itu berlaku seperti ‘menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.’