KEMAMAN - Pengundi Kemaman boleh mengembalikan semula kegemilangan Barisan Nasional (BN), sebagaimana 'gelombang biru' yang berjaya menjatuhkan Pas pada 2004.
Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, apa yang berlaku di Terengganu ketika ini adalah, rakyat diberikan gambaran dan persepsi yang salah terhadap UMNO.
Jelasnya, ia menyebabkan pengundi di negeri ini termasuk kumpulan atas pagar memihak kepada Pas.
"Pada tahun 1999, UMNO hanya menang empat kerusi daripada 32 pada 1999. Waktu itu saya menjawat jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi UMNO Terengganu manakala Tan Sri Idris Jusoh adalah timbalannya.
"Ia pernah berlaku, jadi maknanya rakyat atau pengundi di sini (Terengganu) mempunyai pemikiran untuk beralih," katanya dalam Wawancara 'Pentingnya Suara Kemaman Dalam Parlimen yang disiarkan menerusi Facebook BN.
Tambah Mahdzir, kumpulan atas pagar di negeri juga disifatkan berani membuat perubahan.
Justeru, beliau menaruh keyakinan golongan itu membuat penilaian sewajarnya untuk kebaikan dan kesejahteraan Kemaman.
"Kita kemukakan satu tokoh besar dan pengundi atas apa jua perkiraan pun, inilah ruang untuk mengundi beliau. Kalau mengundi pun, ia beri satu keuntungan kepada orang Kemaman," ujarnya.
PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu BN dan Pas.
BN mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor manakala Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mewakili Pas.