Penduduk Kampung Rantau Panjang terkejut, air naik cepat

Iklan
Penduduk yang tinggal di tebing Sungai Selangor di Kampung Rantau Panjang di sini mula dinaiki air pada pagi Jumaat. (Gambar kecil dari kiri: Normah, Azizis, Ismail)

KUALA SELANGOR - Penduduk di Kampung Rantau Panjang di sini terkejut hujan berterusan lebih tujuh jam menyebabkan rumah mereka dinaiki air dengan cepat pada Jumaat.

Keadaan itu menyebabkan rumah penduduk yang tinggal di tebing Sungai Selangor di kampung itu ditenggelami air sedalam 0.3 hingga 0.5 meter.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk, Normah Gurger Khan, 71, berkata, air mula masuk ke dalam rumahnya kira-kira jam 8 pagi Jumaat.

"Kebetulan saya sudah bangun tidur dan dapati air mula masuk dari bilik air, seterusnya ke bilik dan memenuhi keseluruhan rumah," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, perabot dan pakaian serta dokumen penting sempat diselamatkan, bagaimanapun mesin basuh dan peti sejuk tidak sempat dialihkan ke tempat tinggi.

"Saya selamatkan apa yang penting sahajalah, tambahan pula usia tua ini tak larat untuk memindahkan barang," jelasnya.

Iklan

Anaknya, Hazleena Taib, 47, berkata, semasa kejadian dia sedang tidur di bilik sebelum dikejutkan ibunya.

Jelasnya, kejadian banjir biasanya berlaku di kampung itu lebih-lebih kediaman mereka berada berhampiran Sungai Selangor.

Salah sebuah rumah penduduk ditenggelami banjir pada Jumaat.


Azizis Isnin, 59, pula berkata, kejadian banjir bukanlah perkara luar biasa di kampung itu, malah setiap tahun mereka berdepan bencana sama.

Bagaimanapun jelasnya, kejadian banjir tahun ini tidak seteruk tahun lalu hingga hampir menenggelamkan bumbung rumah.

"Seingat saya, ini kejadian kali pertama berbanding tahun lalu empat kali kediaman kami digenangi air," tambahnya.

Seorang lagi penduduk, Ismail Abdul Karim, 63, berkata, hanya laman rumahnya sahaja ditenggelami banjir.

Namun dia bimbang jika hujan berterusan menyebabkan keadaan lebih teruk dan berisiko air melimpah ke dalam rumah.

"Dalam kejadian sebelum ini rumah saya pun dinaiki air, saya masih berjaga-jaga dan berharap air kembali surut," jelasnya.

Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Rantau Panjang, Rahim Mohd Yatim berkata, seramai 46 mangsa daripada 15 keluarga di Kampung Rantau Panjang terjejas dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Rantau Panjang.

"Daripada jumlah itu, ramai 30 lelaki dan 16 perempuan telah dipindahkan ke PPS berkenaan," tambah beliau