Penternak mula pindah haiwan ke tempat tinggi

Iklan
Syazwan Hakimi mula memindahkan ternakannya selepas padang mula digenangi banjir di Kampung Serungga, Pasir Mas.

PASIR MAS - Penternak lembu di Kampung Serungga di sini mula memindahkan ternakan ke tempat lebih tinggi berikutan Sungai Golok yang melepasi paras bahaya pada Jumaat.

Penternak, Syazwan Hakimi Mohd Nuh, 22, berkata, sebanyak 20 lembu miliknya dipindahkan bagi mengelak mati dalam banjir.

Iklan
Iklan

Katanya, lembu kebiasaannya pandai berenang namun jika arus air terlalu deras, ia berisiko untuk letih dan kemudiannya lemas.

Lembu dipindahkan ke tempat tinggi bagi mengelak mati lemas akibat banjir.

"Seekor lembu sudah dialihkan dari Serungga 2 kerana kawasan itu sudah dinaiki air mencecah 0.5 meter.

Iklan

"Sebahagian berada di dalam kebun sawit manakala sebahagian lagi dibawa sejauh dua kilometer ke Taman Halal Pasir Mas dan diletakkan di kawasan itu kerana kedudukannya lebih tinggi daripada Kampung Serungga,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, pada Disember tahun lalu, tujuh anak lembu berusia kira-kira dua tahun miliknya lemas semasa berenang untuk menyelamatkan diri semasa dalam banjir.

Iklan

Katanya, kematian ternakannya itu menyebabkan dia mengalami kerugian kira-kira RM7,000.

"Kali ini saya ambil langkah lebih awal untuk menggelakkan perkara sama berulang.

Che Rohana sudah siap sedia menyimpan barangan di atas loteng rumah.

"Kalau tidak, saya yang terpaksa berenang bersama dengan lembu untuk menyelamatkan haiwan-haiwan ini,” katanya.

Selain penternak, penduduk juga berwaspada dan bersiap sedia untuk berpindah sekiranya banjir melanda kampung berkenaan.

Kata peniaga, Che Rohana Ismail, 56, barangan seperti pakaian dan permaidani sudah siap disimpan di atas loteng rumah.

Rak dibina lebih tinggi untuk meletakkan barangan.

"Saya tidak mahu kejadian pada Disember tahun lalu berulang lagi apabila terpaksa meredah banjir setinggi 0.7 meter pada waktu tengah malam.

"Waktu itu juga saya kerugian sehingga RM20,000 kerana barangan niaga hanyut dan rosak akibat tidak sempat diselamatkan,” ujarnya.

Setakat petang Jumaat, paras Sungai Golok mencatat bacaan 9.04 meter.