Kes saman Siti Nordiana: Tidak perlu burukkan artis di 'Live'

Iklan
Siti Nordiana memfailkan saman terhadap Lan Solo, isteri Lan, Syura, Sam Musyadzafar dan Razidah.

KUALA LUMPUR - Seorang Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat bahawa, sikap memburuk-burukkan rakan artis lain, tidak perlu dibuat menerusi siaran langsung.

Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, 47, berkata demikian ketika perbicaraan kes saman fitnah penyanyi, Siti Nordiana Alias selaku plaintif, terhadap lima individu termasuk dua artis iaitu Lan Solo dan Syura.

Iklan
Iklan

Saksi plaintif ini berkata, perbuatan berkenaan perlu dielakkan demi industri hiburan tanah air kerana ia bakal menjadi rujukan di masa depan.

"Sekiranya timbul masalah, kita tidak boleh sesuka hati membuat siaran langsung, sebab itulah saya hadir di mahkamah untuk memberi keterangan,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh peguam, Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana.

Iklan

Pada 30 Julai 2021, Siti Nordiana atau lebih dikenali sebagai Nana memfailkan saman menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates dengan menamakan Lan Solo, isteri Lan, Syura, Sam Musyadzafar dan Razidah masing-masing defendan pertama hingga kelima.

Sementara itu, semasa disoal peguam, Fithril Hakim Ab Jalil yang mewakili Sam, Tengku Khalidah yang kini Ketua Cawangan Penjenamaan dan Editorial, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkata, dia hanya mengetahui isu yang melanda Siti Nordiana dan lima defendan berkenaan, selepas membaca berita di akhbar.

Iklan

Fithril Hakim: Datuk hanya mengetahui perkara itu selepas membaca mengenai kes saman Nana terhadap semua defendan.

Tengku Khalidah: Ya, tidak sangka pula kes ini berpanjangan hingga ke mahkamah.

Fithril Hakim: Datuk pernah tonton video itu (rakaman yang didakwa memfitnah Siti Nordiana)?

Tengku Khalidah: Saya ada tengok.

Fithril Hakim: Tengok di mana?

Tengku Khalidah: Youtube ‘Manusia Lemah’.

Fithril Hakim: Bila Datuk tengok video itu?

Tengku Khalidah: Seingat saya pada sekitar 2021, rasanya semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila telah disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing, telah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Siti Nordiana mendakwa fitnah itu membawa maksud antaranya dia bukan seorang artis yang bersih dan dihormati, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.

Siti Nordiana mendakwa jumlah tontonan untuk siaran langsung yang dimuat naik ke akaun YouTube dijangka bertambah dan reputasinya telah dirosakkan secara serius dalam kalangan orang ramai serta penaja yang mengambil serta melantiknya sebagai model dan duta produk.

Plaintif mendakwa sebelum memulakan tindakan saman itu melalui peguamnya menyerahkan Notis Tuntutan melalui serahan tangan dan e-mel kepada kesemua defendan yang menuntut antara lain permohonan maaf dalam tempoh 24 jam selain ganti rugi sebanyak RM200,000 namun mereka gagal berbuat demikian.

Sehubungan itu, Siti Nordiana menuntut kesemua defendan secara berasingan menyiarkan permohonan maaf yang jelas dan tidak bersyarat dalam akhbar, Instagram serta Facebook, secara berterusan selama dua bulan atau mana-mana tempoh yang dianggap adil dan wajar oleh mahkamah.

Justeru dia menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 daripada setiap defendan, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.