SHAH ALAM - Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan mesyuarat tergempar susulan pengumuman Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang enggan mempertahankan jawatannya pada pemilihan akan datang.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan membincangkan mengenai keputusan Ahli Parlimen Pagoh itu.
"Satu kenyataan yang terlalu awal dibuat oleh Tan Sri (Muhyiddin), tetapi reaksinya menunjukkan bahawa ia (cadangan) tidak diterima oleh perwakilan.
"Kebetulan petang ini, kita (MPT) akan mengadakan mesyuarat tergempar untuk berbincang lanjut mengenai hasrat beliau untuk tidak memimpin parti selepas pemilihan akan datang.
"Ini merupakan 'signal' yang kuat bahawa Tan Sri adalah imej dan simbol parti ini. Perjuangan parti yang belum selesai menghendaki untuk Tan Sri terus memimpin parti,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023, pada Jumaat.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan yang disandangnya bagi memberi peluang kepada orang baharu mengemudi parti tersebut.
Dalam pada itu, Ronald berkata, walaupun bekas Perdana Menteri itu berjaya melahirkan ramai pemimpin berkaliber, namun dalam tempoh politik yang mencabar, Bersatu masih memerlukan kepimpinan beliau.
"Keputusan yang dibuat hari ini ‘effective’ tahun hadapan, jadi tiada apa yang dimuktamadkan.
"Bersatu boleh bergerak ke hadapan tanpa Tan Sri, tetapi saya lihat kita masih memerlukan beliau untuk memimpin parti,” ujarnya.