KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan meneruskan penguatkuasaan sempadan bagi mengekang jenayah penyeludupan barangan kawalan di perairan Sungai Golok pada musim tengkujuh.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, penugasan itu melibatkan 127 anggota yang bertanggungjawab memastikan penyeludup tidak mengambil kesempatan apabila paras sungai meningkat dan melimpah.
Menurut beliau, kebiasaannya mereka beranggapan penguatkuasaan pihak berwajib longgar semasa musim banjir namun tanggapan itu tidak benar sama sekali.
"Kami meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan seperti biasa bagi menghalang penyeludupan barangan seperti petrol atau minyak masak di sempadan.
"Pada awal bulan depan, satu operasi bersepadu juga akan dilaksanakan dengan penglibatan jabatan lain seperti polis, tentera dan kastam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di pekarangan Mydin di Tunjong di sini, pada Jumaat.
Ujar beliau, anggota penguatkuasa di negeri ini juga berdepan cabaran dalam menangani isu penyeludupan barangan kawalan kerana kedudukan sempadan sungai yang panjang iaitu sejauh 96 kilometer.
"Lebar sungai yang terlalu dekat memisahkan antara Kelantan dan Thailand juga antara faktor penyeludup mudah bolos namun pihak berkuasa akan tetap melakukan kawalan yang ketat bagi mangatasi jenayah ini,” katanya.
Sementara itu, bagi program ReDI di Kelantan setakat ini, seramai 1,372 peniaga mendaftar dan menggunakan aplikasi eWallet dalam transaksi perniagaan harian.
Menurut beliau, program itu penting dalam memperkukuh sektor runcit di negara ini dan mempercepatkan transformasi digital supaya peniaga-peniaga kecil dapat bersaing selari dengan kemajuan teknologi menuju ke arah masyarakat tanpa tunai.
"Program melibatkan cabang dan strategi termasuk pengenalan sistem pembayaran melalui QR Code, advokasi kepada peniaga dan latihan untuk mempersiapkan peniaga dengan pengetahuan serta keterampilan menghadapi persaingan dunia digital.
"Bagi menggalakkan lagi penggunaan pembayaran tanpa tunai, KPDN menyediakan insentif kepada peniaga yang mendaftar antaranya membayar kos sewaan tapak peniaga, kredit sebanyak RM30 manakala pengunjung pula, diberikan kredit dalam aplikasi Touch N Go sebanyak RM20 untuk 1,000 individu berbelanja,” katanya.