Jangan pilih ahli Parlimen 'separuh masa' - Bekas ADUN

Iklan
Wan Abdul Hakim ketika sidang media berhubung perkembangan kempen PRK Kemaman di Pejabat UMNO Bahagian Kemaman, hari ini. - Foto Bernama

CHUKAI - Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman diharap dapat membuat penilain bijak dengan memilih calon yang boleh mencurahkan khidmat bakti sepenuh masa, bukan hanya secara 'part time' bagi mewakili suara mereka di Parlimen, pada hari pengundian 2 Disember ini, kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Beliau berkata, adalah sesuatu yang merugikan pengundi di Parlimen itu sekiranya pemimpin yang diangkat nanti tidak dapat berkhidmat sepenuh masa kerana mempunyai komitmen lain.

Iklan
Iklan

Mengambil kira faktor itulah menurutnya menyebabkan Barisan Nasional (BN) menampilkan calon langsung iaitu Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang bukan sahaja mampu memberi komitmen penuh, malah memahami keperluan Parlimen itu sebagai individu yang membesar di Kemaman.

"Tagline kita adalah ‘Kemamang untuk Kemamang’, sebab calon kita orang Kemaman yang membesar di Kemaman dan akan berkhidmat di Kemaman.

Iklan

"Kalau dia dipilih, dia ahli Parlimen sepenuh masa, bukan ‘part time’.

"Dia tiada jawatan menteri, dia bukan Menteri Besar dan dia akan jadi ahli Parlimen yang akan berkhidmat sepenuh masa di sini.

Iklan

"Dia juga bukan calon Perdana Menteri seperti sesetengah orang itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Wan Abdul Hakim yang juga Pengerusi Media UMNO Bahagian Kemaman berkata, pemilihan Raja Mohamed Affandi yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera itu boleh menjadi jambatan penghubung antara rakyat Terengganu dan kerajaan pusat.

"Di Terengganu, Kelantan dan Kedah tidak ada satu pun ahli Parlimen yang mewakili BN dan selari dengan Kerajaan Perpaduan.

"Jadi kalau kita angkat calon daripada BN ini, maknanya inilah satu-satunya wakil Parlimen kita dengan Kerajaan Perpaduan di negeri kita.

"(Jadi) Kita minta rakyat Kemaman pada hari mengundi nanti untuk beri sokongan kepada calon BN.

"Kita hanya minta satu kerusi sahaja dan kami akan pastikan satu ini kualitinya lebih bernilai dari kuantiti yang ramai,” katanya.

PRK Kemaman yang ditetapkan 2 Disember ini sebagai hari mengundi menyaksikan Raja Mohamed Affandi berdepan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas. - Bernama