Sang Badak benam Skuad Penyu 4-0 di Kuala Nerus

Iklan
Pemain Terengganu FC, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob (dua dari kiri) diasak pemain Sabah FC, Ramon Machado De Macedo (kiri) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini. - Foto Bernama

TERENGGANU FC (TFC) gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila tewas 0-4 kepada Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini malam ini.

Pasukan pelawat yang menguasai permainan membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi penyerang import, Ramon Machado hasil hantaran Rizal Ghazali.

Iklan
Iklan

Tersentak dengan gol awal itu, tuan rumah mengatur serangan balas dan beroleh satu-satunya peluang pada minit ke-18, namun gagal apabila rembatan jarak jauh Habib Haroon tinggi melepasi palang.

Pada minit ke-29, pasukan pelawat sekali lagi menggegar jaring gawang tuan rumah menerusi Saddil Ramdani yang merembat kencang daripada luar kotak penalti sebelum giliran Miguel Cifuentes menghadiahkan gol ketiga buat skuad Sang Badak pada minit ke-39.

Iklan

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang mendahului 3-0 tidak menunggu lama untuk meledak gol keempat menerusi pemain gantian, Muhammad Jafri Chew yang menyudahkan hantaran lintang Machado pada minit ke-47.

Keputusan Sabah FC mengatasi TFC 4-0 kekal sehingga tiupan wisel penamat. - Bernama

Iklan