[VIDEO] 'Suzanna' popularkan Amalina

Iklan

BIARPUN bekerja di depan kamera, tidak pernah pernah terlintas langsung dalam benak Nor`Amalina Abd Halim tentang hal populariti.

Namun, dek sebuah klip yang mempersendakan mekap pada wajahnya tular telah membuatkan Penerbit Rancangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan juga pembaca berita itu menjadi perhatian ramai.

Iklan
Iklan

Mengakui keliru dan terkesima pada awalnya, wanita berusia 35 tahun itu kemudian beranggapan apa yang terjadi ke atasnya sebagai perkara yang melucukan sepanjang 14 tahun bertugas.

"Saya bersiaran langsung dalam Berita Wilayah jam 5 petang dan sejam selepas itu saya dapat tahu mengenai perkara ini selepas ketua saya kongsikan video TikTok tersebut.

Iklan

"Memang saya terkejut kerana pada masa itu, saya masih mengenakan solekan dan olesannya tidaklah seteruk dalam rakaman itu.

"Walaupun agak terkesima dengan video tular berkenaan, saya cuma terfikirkan jurumekap tersebut. Dia orang luar, bukan warga RTM," imbaunya kepada SinarPlus.

Iklan

Akui Amalina, jujurnya beliau juga tidak tahu siapakah Suzanna yang disebut-sebut memandangkan empunya diri bukanlah seorang yang suka menonton naskhah seram.

Karakter yang disamakan dengan video tular.

Namun, bila semua sudah jelas, Amalina hanya mampu tertawa besar.

Disebabkan hanya sebuah cuplikan video nakal yang mengusiknya itulah telah membuatkan beliau disapa dengan 'gelaran khas'.

"Bayangkan selepas itu, orang ramai dah mula panggil saya dengan nama Suzanna RTM. Bila diingatkan kembali, memang lucu apabila orang samakan wajah sama dengan watak (sundel bolong) dalam filem Suzanna, sampai anak saya sendiri bertanya tentang hal ini," katanya yang terus dengan hilaian tawa.

Sememangnya ujar Amalina, insiden tak terduga itu telah mempopularkan dirinya sekelip mata. Pun demikian, ibu kepada dua zuriat tersebut kekal tenang.

"Saya tak rasa tertekan atau terlalu fikir apa salah saya? Saya hanya rasa kelakar dengan apa yang berlaku. Jurumekap itu juga berasakan ia satu promosi percuma buat kerjayanya," ujarnya.

Peringatan

Apa yang berlaku tidak mematahkan semangat Amalina untuk terus berkhidmat sebagai pembaca berita.

Bagaimanapun, beritahu wanita itu, sebagai langkah berjaga-jaga, beliau telah membuat laporan polis sejajar dengan nasihat Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman meski si pelaku sudah memohon maaf.

"Individu tersebut mesej saya dan jurumekap di Instagram berkali-kali sejak Sabtu sehingga Selasa lalu nyatakan kekesalan dan memohon maaf.

"Cuma laporan polis tetap dibuat untuk tujuan perlindungan diri. Saya pun tidak ada rencana untuk ambil tindakan susulan walaupun dia dikira menfitnah saya dan jurumekap. Saya anggap semua ini sebagai satu lelucon sepanjang berkhidmat di sini," ujarnya.

Dalam pada itu, ditebak pandangannya mengenai sikap segelintir individu yang mudah menularkan sesuatu perkara sekadar untuk 'suka-suka' atau jalan mudah mendapatkan jumlah tontonan tinggi, Amalina berkata, setiap orang perlu mempertimbangkan baik buruk tindakan yang dibuat.

Pada hematnya, populariti dalam masa singkat boleh memberi kesan berbeza kepada setiap individu.

"Dalam kes saya ini, bagi saya hanya rasa kelakar, tetapi bayangkan kalau orang lain ada anxiety atau boleh beri impak buruk buatnya, tidakkah ia akan membuatkan seseorang itu rasa tertekan atau malu?

"Bagi saya, dalam apa jua yang kita lakukan, kita kena fikirkan kesan dahulu. Walaupun niat mahu bergurau, ia semua kena berpada-pada.

"Saya harap individu itu dan orang lain ambil iktibar dengan tidak sewenang-wenangnya viralkan sesuatu perkara yang tidak benar," katanya.

Mengulas mengenai kerjayanya selepas ini, Amalina berkata, beliau akan meneruskan tugas sebagai pembaca berita wilayah dan wartawan penyiaran seperti biasa.

"Saya memang tiada perancangan langsung untuk terjun ke dunia glamor sebagai pengacara," katanya berterus-terang.

ADA BANYAK LAGI BERITA HIBURAN MENARIK DAN JANGAN LUPA DAPATKAN AKHBAR SINAR AHAD ESOK!