KOTA BHARU - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen (PVATTBM) meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian elaun sara hidup sebanyak RM300 sebulan kepada semua veteran tidak berpencen berusia 60 tahun ke atas.
Presidennya, Ismail Abidin berkata, sebelum ini elaun berkenaan diberikan hanya kepada veteran tidak berpencen pada usia sama yang menghadapi masalah kesihatan dan kesulitan tertentu.
Menurutnya, beliau percaya kerajaan tidak menghadapi masalah untuk menyamaratakan pembahagian berkenaan memandangkan bekas tentera tidak berpencen juga pernah menabur bakti kepada negara.
"Saya bukan mahu menyalahkan kerajaan tetapi kami berpandangan kerajaan berkemampuan untuk melakukannya kerana gaji mereka dipotong sebanyak 10 peratus setiap bulan sepanjang berkhidmat.
"Kita juga memiliki aset tertentu, dengan adanya 60 anak syarikat di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan juga pelbagai lagi. Jadi persoalannya ke mana keuntungan tersebut diagihkan kalau kami tidak dapat merasainya,” katanya pada Mesyuarat Agung Kali Pertama PVATTBM Kelantan di sini semalam.
Dalam pada itu, bagi membantu bekas-bekas pejuang negara tidak berpencen itu juga, Ismail mencadangkan agar pihak berkaitan menaik taraf Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) yang terdapat di negeri-negeri menjadi pasar raya.
"Saya yakin ramai dalam kalangan anak kita yang berkelayakan dan masih tidak bekerja. Jadi menerusi ini anak-anak dan juga veteran dapat bekerja sekali gus menjana pendapatan mereka,” katanya.
Selain itu, Ismail juga sekali lagi menggesa kerajaan untuk memberikan bantuan setara kepada anggota tentera yang ditamatkan perkhidmatan di bawah maksud 'perkhidmatan tidak lagi diperlukan' supaya menikmati faedah seperti veteran tentera yang lain.
"Saya harap agar kerajaan pertimbangkan bantuan kepada mereka diberhentikan di bawah Peraturan Para 49. Kalau boleh selepas tiga tahun diberhentikan, nama mereka dibersihkan dan diberikan buku baru supaya mereka mendapat kemudahan seperti mana-mana veteran lain,” katanya.
Katanya, perkara yang dibangkitkan itu sudah dimaklumkan kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada sesi dialog dua bulan lalu di Kuala Lumpur.
Justeru, beliau meminta jasa baik kerajaan untuk mempercepatkan proses ke arah pelaksanaan sebagai salah satu cara untuk menghargai keberanian bekas-bekas tentera mempertaruhkan nyawa demi tanah air selama ini.
Katanya, terdapat kira-kira 250,000 veteran tentera tidak berpencen di seluruh negara dan masih ramai yang tidak berdaftar sebagai ahli.
"Sehubungan itu, diharapkan kumpulan terbabit dapat mendaftar dengan cepat bagi mendapat pelbagai kebajikan yang disediakan oleh kerajaan," katanya.