Garis panduan pengurusan dana kutipan derma NGO akan dibentang

Iklan
Mohd Asri Zainul Abidin

SHAH ALAM - Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis akan menetapkan garis panduan berkenaan pengambilan sebahagian hasil kutipan derma oleh mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi bagi mengelak berlakunya penyelewengan dana.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, garis panduan itu termasuk jumlah dana yang wajar dibenarkan untuk tujuan pengurusan khususnya berkaitan derma untuk Palestin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan ke atas penderitaan Gaza semata-mata untuk mengaut keuntungan dengan mudah.

"Dalam mesyuarat Fatwa, kita akan membentang isu ini. Banyak mana mereka boleh ambil dan apakah amanah serta kewajipan yang perlu dipegang pihak berkenaan.

Iklan

"Contohnya, mereka beritahu ambil 10 peratus (untuk pengurusan)...saya bagi amanah RM1,000 tetapi rupanya mereka ambil RM500 mereka ambil. Itu tidak amanah, menyanggah, berdosa dan pengkhianatan kepada harta yang orang bagi," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, Jabatan Mufti Negeri Perlis dilapor mengeluarkan surat bertarikh 24 Ogos 2023, meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) supaya tidak membenarkan kutipan derma Palestin oleh sebuah pertubuhan amal dilaksanakan di premis agama Islam negeri itu.

Iklan

Pada 9 Oktober lalu juga, Dr Mohd Asri dalam hantarannya di aplikasi X meminta orang ramai berhati-hati dengan 'scammer' atau sindiket penipuan yang cuba mengambil kesempatan mengumpul dana kononnya untuk membantu rakyat Palestin.

Kemudian pada Khamis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor bertindak membekukan 41 akaun bank syarikat pertubuhan amal berkenaan bagi membantu siasatan penyalahgunaan wang sumbangan orang ramai dianggarkan berjumlah RM70 juta.

Mengulas lanjut, Mohd Asri yang ditemui selepas program Di Sebalik Isu Bersama FY: Boikot Produk Zionis, Maslahah @ Mafsadah berkata, siasatan wajar dijalankan kerana wujud keraguan dan kekeliruan seperti yang telah disuarakan.

"Sama ada wujud kes (penyelewengan), sejauh mana mahkamah nak buktikan (itu) kemudian.

"Tapi apa yang kita rasakan ada kekeliruan dan keraguan kita itu benar," katanya.

Dalam masa sama, Mohd Asri berkata, tindakan organisasi yang mengambil kesempatan atas penderitaan orang lain adalah amat menyedihkan.

"Perniagaan apa sampai mengambil 20 hingga 60 peratus? orang bagi dengan harapan jumlah itu disalurkan ke Palestin,” katanya.