63 tebusan dibebaskan pada Jumaat

Iklan
Rakyat Palestin mengibarkan bendera negara itu ketika tahanan dibebaskan dari penjara Israel. - Foto REUTERS

BAITULMAQDIS - [DIKEMAS KINI] Sejumlah 63 tebusan dalam konflik perang antara kumpulan pejuang Hamas dan Israel telah dibebaskan pada Jumaat.

Hamas telah membebaskan 24 tebusan, manakala Israel membebaskan 39 tahanan Palestin selepas gencatan senjata Israel-Hamas yang dirunding oleh Qatar berkuat kuasa.

Iklan
Iklan

Menurut jurucakap Kementerian Luar di Qatar, Majed Al-Ansari. antara tawanan yang dibebaskan ialah 13 warga Israel, 10 warga Thailand dan seorang warga Filipina.

Pembebasan 24 tawanan yang dijadikan tebusan oleh Hamas semasa serangan ke atas Israel pada 7 Oktober itu dibuat selepas perjanjian antara Israel dan Hamas, termasuk gencatan senjata selama empat hari dan pertukaran tawanan untuk rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Iklan

Qatar berkata 39 wanita dan kanak-kanak Palestin yang ditahan di penjara Israel telah dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.

Sementara itu, Jawatankuasa Antarabangsa Bulan Sabit Merah (ICRC) di Israel berkata bahawa kumpulan tebusan dari Palestin telah pun dipindahkan ke sempadan Rafah.

Iklan

Tawanan Israel pula telah kembali ke wilayah Israel di mana mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum bersatu semula dengan keluarga mereka.

Menurut perjanjian yang ditaja oleh Qatar, Hamas akan membebaskan 50 wanita dan kanak-kanak, daripada kira-kira 240 orang yang ditawan oleh kumpulan itu semasa serangan ke atas Israel Selatan pada 7 Oktober.

Sebagai pertukaran, Israel akan membebaskan sejumlah 150 wanita dan kanak-kanak Palestin ditahan di penjara Israel, yang disifatkan oleh rakyat Palestin sebagai mangsa pendudukan Israel. - Awani